My Add

Sunday 8 January 2012

Pilih kerajaan bantu industri

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan warga Industri Selangor semasa menghadiri majlis Pertemuan Perdana Menteri Malaysia bersama Warga Industri di Kilang Proton Shah ALam, semalam.

Oleh HELMI MOHD. FOAD

SHAH ALAM, AHAD, 08 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kewujudan sebuah kerajaan yang mengambil berat terhadap nasib para pekerja merupakan faktor penting bagi melengkapkan pembangunan industri untuk menjadi sebuah negara maju pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata, kejayaan sesebuah syarikat masih belum terjamin sekiranya hanya mempunyai pengurusan yang cekap dan berwibawa selain para pekerjanya mempunyai produktiviti, tetapi tiada sokongan daripada kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, hubungan tiga penjuru itu penting bagi mengelakkan syarikat-syarikat yang sudah berjaya di negara ini seperti pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd. tersungkur dan lumpuh.

‘‘Cuba bayangkan kalau ada kerajaan yang buat dasar tidak tepat misalnya orang suruh bantu Proton dia beri lesen kepada orang lain. Proton akan lumpuh dan tersungkur, habis pekerja tidak ada pekerjaan, (pada masa itu) jangan cakap fasal bonus, pekerjaan pun habis (hilang).

‘‘Ketiga-ketiga perkara itu mesti ditempatkan pada kedudukan yang sebaik-baiknya, kita mesti pilih pengurusan berwibawa dan meletakkan kerajaan yang mampu mentadbir... kita perlukan sebuah kerajaan yang menyokong membantu industri hingga berjaya, '' katanya.

Beliau berucap pada majlis pertemuan dengan warga industri Selangor di Pusat Kecemerlangan Proton di Seksyen 26, di sini semalam.

Pertemuan bersama lebih 30,000 pekerja industri itu sempena lawatan kerja Perdana Menteri dalam program Nurani Rakyat selama dua hari ke negeri ini, sejak semalam.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Penasihat Proton; Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Turut hadir, pengurusan tertinggi Proton iaitu Pengerusinya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir serta ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat industri di negeri ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan perjumpaan tertutup dengan 3,000 pegawai dan kakitangan agensi Persekutuan di Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Najib berkata, sekiranya sesebuah syarikat industri mencapai kejayaan, mereka perlu memastikan kebajikan para pekerjanya sentiasa dijaga dan terbela.

‘‘Semua pengurusan tertinggi syarikat ada di sini, tolong jaga kebajikan pekerja tetapi dengan syarat pekerja mesti bekerja dan mesti ada produktiviti, kalau produktiviti naik, gaji akan naik.

‘‘Kalau gaji naik dan syarikat untung kita pun boleh memberikan bonus, jangan hanya pengurusan tertinggi sahaja dapat bonus,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh oleh para pekerja industri yang gembira dengan saranan Perdana Menteri itu.

Beliau memberitahu, kerajaan di bawah pimpinannya mengamal falsafah bahawa keuntungan yang dinikmati oleh syarikat perlu disalurkan kembali bagi menjaga kebajikan para pekerja.

Perdana Menteri berkata, usaha dan pembelaan terhadap kebajikan para pekerja merupakan satu permulaan dan mereka akan dapat menerima lebih banyak faedah selain pelbagai perkara yang akan dilaksanakan jika pentadbirannya terus diberi mandat dalam pilihan raya akan datang.

‘‘Ini kerana kita mempunyai pengalaman dalam menerajui negara, tetapi dengan orang yang tidak ada pengalaman jaga sedikit, dia boleh janji macam-macam, dia boleh janji bulan, bintang dan cakerawala, sebab dia tiada kuasa. (Sebaliknya) Kita apabila berjanji mesti berpijak bumi yang nyata,” kata beliau. - MM

No comments:

Post a Comment