My Add

Monday 9 January 2012

PKR berniat cetuskan provokasi

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang mendakwa pihak polis tidak mengenakan syarat semasa membenarkan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 esok jelas menunjukkan parti itu sebenarnya mempunyai niat mencetuskan provokasi.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kenyataan Azmin menunjukkan parti itu sebenarnya tidak mahu mematuhi undang-undang serta peraturan berhimpun yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan tindakan PKR bertemu pihak polis yang membawa kepada persetujuan membenarkan perhimpunan hanyalah untuk mengaburi mata rakyat kononnya mereka mematuhi undang-undang dan akan berhimpun secara aman.

"Sebenarnya, mereka (PKR) dari awal-awal lagi tidak berniat untuk mengadakan perhimpunan secara aman. Mereka mahu mencetuskan provokasi dan keadaan huru-hara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, dakwaan Azmin yang bercanggah dengan apa yang dinyatakan pihak polis itu membuktikan bahawa pembangkang sebenarnya gemar memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan rakyat.

Mohd. Jurit berkata, pihaknya juga kecewa kerana pada pertemuan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam membuat laporan polis berhubung perhimpunan tersebut tidak dipanggil sama bagi menyertai perjumpaan antara polis dan Azmin itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, rakyat seharusnya bijak menilai dan melihat niat sebenar dakwaan-dakwaan yang dibuat Azmin itu.

Katanya, apa yang dirancang pihak penganjur kempen itu adalah lebih kepada untuk menyokong dan mempertahankan seorang individu sedangkan apa yang polis lakukan pula adalah demi untuk keamanan dalam negara.

Bagi Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula, tindakan itu disifatkan biadab kerana jelas tidak menghormati keterbukaan polis memberi peluang kepada mereka untuk berhimpun.

"Inilah sikap pembangkang yang gemar mencari salah orang lain dan dalam masa sama memutarbelitkan sesuatu perkara,'' ujarnya. 

No comments:

Post a Comment