My Add

Monday 9 January 2012

PM rai sambutan ulang tahun ke-100 ANC

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan, ISNIN, 09 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyertai 46 ketua kerajaan pada sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Stadium Ragbi Mangaung di sini yang terletak kira-kira 600 kilometer dari Pretoria.

Perdana Menteri yang tiba di sini pada pukul 9 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia) dalam lawatan kerja dua hari ke negara ini disambut Presiden Jacob Zuma sebelum menyertai majlis terpenting parti tersebut yang berjuang sejak sekian lama sehingga berjaya menjatuhkan rejim Apartheid pada 1990.

Kehadiran Perdana Menteri pada sambutan yang dihadiri 100,000 pengikut ANC itu turut disertai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang antara lain bagi menunjukkan sokongan padu Kuala Lumpur yang berterusan kepada komitmen ANC untuk perjuangan rakyat Afrika Selatan.

Bagaimanapun, pejuang Afrika Selatan pada era Apartheid, Nelson Mandela yang berusia 93 tahun tidak menghadiri majlis sambutan hari ini kerana masalah kesihatan.

Petang ini, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan seorang ketua kerajaan 'Free State' di sini, Sekgobelo Elias Magshule sebelum diikuti mesyuarat dua hala dengan Zuma.

Selepas meninggalkan Stadium Ragbi Mangaung, beliau kemudian dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyako.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Kennedy Jawan, meskipun lawatan Perdana Menteri ke negara ini agak singkat, namun ia amat signifikan setelah kali terakhir kunjungan pemimpin tertinggi Malaysia ke sini ialah pada 2005, diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ia, kata beliau, memberi isyarat bermakna kepada kedua-dua negara untuk menerokai peluang-peluang baru dalam hubungan ekonomi dan dagangan.

Tahun lalu, hubungan dagangan dua hala kedua-dua negara mencecah AS$5.2 bilion.

Meskipun beberapa syarikat Malaysia mengalami penyusutan dagangan di negara ini semasa krisis ekonomi 1997/98, namun mereka kembali berdaya saing termasuklah dengan penyertaan menyerlah Petronas dalam industri minyak dan gas selain pelaburan sebuah syarikat dalam sektor perumahan dan padang golf. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment