My Add

Monday 16 January 2012

PM rasmi Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu

PEKAN, ISNIN, 16 Januari, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Puusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Padang Rumbia dan Kampung Pulai Serai, Mukim Pahang Tua di sini, semalam.

Perasmian itu menyaksikan seramai 162 keluarga menerima rumah bersepadu tersebut iaitu 50 di Kampung Padang Rumbia dan 112 di Kampung Pulai Serai.

Bukan sahaja diberikan secara percuma, malah rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi itu turut dilengkapi dengan perabot dan sebuah tong gas LNG.

Antara kemudahan perabot yang telah dibekalkan adalah seperti set bilik tidur, sofa dan meja makan.

Selain itu, kawasan sekitar di Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu itu turut disediakan sebuah pusat kraftangan, pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pusat memproses makanan, pusat ternakan ikan Jade Perch dan pusat ekonomi pertanian bersepadu.

Projek perumahan itu dibina melalui kerjasama kerajaan Pusat, kerajaan negeri Pahang dan sektor swasta yang memberi sumbangan kepada pembinaan dan kelengkapan rumah yang disediakan.

Penerima rumah itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan tergolong dalam tafsiran lapan asnaf mengikut hukum Islam serta dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang.

Seorang penerima rumah, Mat Junit Mat Noh, 51, berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikannya tempat tinggal baru.

"Ini kali pertama saya dan keluarga terima bantuan sebegini. Rumah ini cukup selesa dan muat untuk kesemua tujuh orang anak saya.

"Ia mempunyai tiga bilik, dua bilik air dan dilengkapi dengan perabot," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu itu.

Seorang lagi penerima, Norziati Razak, 40, berkata, rumah baru itu akan memberi sinar baru dalam kehidupannya bersama suami, Zainal Hussien, 48, yang kini sedang sakit akibat serangan angin ahmar.

"Saya dan suami cukup gembira apabila mendapat tahu kami terpilih untuk menerima rumah baru ini. Cukup terharu dan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Pahang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment