My Add

Saturday 21 January 2012

Pop Yeh Yeh gegar Istana Budaya


PENYANYI era tahun 60-an, A. Rahman Onn turut membuat persembahan pada Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam semalam.


Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh yang membuka tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) malam ini ternyata menggamit nostalgia tersendiri.

Dengan kehadiran lebih 1,000 penonton yang rata-ratanya peminat setia irama popular itu, konsert anjuran Gombak Serumpun Sdn. Bhd. dilihat berjaya dalam matlamatnya untuk mengembalikan kegemilangan muzik pop yeh yeh.

Setiap penyanyi dan pemuzik yang ditampilkan dalam konsert tersebut juga membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mereka menghiburkan penonton dan peminat.

Ini sehinggakan ada di antara penonton turut menyanyi bersama mengikut alunan muzik yang dimainkan sepanjang persembahan yang memakan masa hampir dua jam itu.

Antara artis yang terlibat dalam konsert tersebut ialah Datuk Jeffrydin bersama kumpulannya, Siglap 5, Datuk L. Ramlee (Orkes Teruna Ria), Datuk A. Rahman Hassan (Orkes Nirwana) dan A. Halim (D'Fiction).

Tidak ketinggalan, A. Rahman Onn yang tampil bersama kumpulannya, The Strangers, J. Sham (The Wanderers); Zam Zam (The Twilites) serta Fatimah M. Amin; Roziah Latif dan A. Rozaini (The Rhythm 60's).

Malam pembukaan konsert tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Sebelum ini, dua konsert berkonsepkan irama pop yeh yeh diadakan di lokasi sama iaitu Konsert Suzanna @ 60 pada 2006 dan Konsert Kenangan Mengusik Jiwa pada Mei tahun lalu.

Bagi mereka yang berminat menyaksikan konsert yang turut mendapat sokongan Utusan Malaysiaserta Radio Klasik Nasional sebagai media rasmi itu, tiket-tiket berharga RM40, RM80, RM120, RM160, RM200, RM240 dan RM350 masih lagi dijual.

Untuk keterangan lanjut, sila layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment