My Add

Saturday 21 January 2012

Produk 'Pao Ni Kang' dibatalkan pendaftaran

KUALA LUMPUR SABTU, 21 Januari, 2012: Sejenis produk kesihatan Pao Ni Kang dibatalkan pendaftarannya setelah dikesan mengandungi bahan campuran yang tidak dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Hasan Abdul Rahman berkata, pendaftaran produk berkenaan dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana dikesan mempunyai bahan campuran beracun iaitu repagline.

"Repagline ialah sejenis ubat terkawal untuk rawatan penyakit diabetes. Jika ia digunakan tanpa pengawasan, dibimbangi ia akan memberi kesan serius kepada kesihatan seperti hipoglisemia iaitu penurunan paras gula secara mendadak.

"Antara simptom hipoglisemia adalah pening, menggigil, berpeluh, keliru dan lesu. Jika individu terkena hipoglisemia serius, ia boleh menyebabkan sawan, tidak sedarkan diri atau koma," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, pemegang pendaftaran produk itu adalah milik Syarikat High Mean (M) Sdn. Bhd., manakala pengilangnya ialah Shitek Micro Algae Sdn. Bhd.

"Keterangan yang tertera pada label produk tersebut adalah bagi digunakan secara tradisional untuk menambah tenaga dan perpeluhan. Justeru itu, pengguna dinasihatkan berhenti menggunakannya kerana produk itu sangat berbahaya terutama kepada pesakit diabetes yang sedang menerima rawatan.

"Pengguna juga dinasihatkan berjumpa profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan," ujarnya.

Hasan menambah, bagi sesiapa yang mempunyai stok produk berkenaan dinasihatkan menghentikan penjualan dan pengedarannya.

"Pemilikan produk berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama bagi penjual dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya bagi syarikat.

"Orang ramai boleh menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-78835546/8545 untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment