My Add

Saturday 21 January 2012

Pusat asuhan beroperasi tanpa lesen

PEGAWAI kesihatan dan anggotanya membuat pemeriksaan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan kematian dua bayi di Taman Permata, Ampang, dekat Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/zwan Zahar
Oleh AZRAI MOHAMMAD
KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan sebuah pusat asuhan di Taman Permata dekat sini yang merupakan tempat kejadian dua bayi lelaki meninggal dunia dipercayai akibat tercekik susu ditutup serta-merta.


Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasinya, Zaitol Salleh berkata, arahan tersebut dikeluarkan setelah siasatan awal JKM mendapati pusat asuhan tersebut beroperasi tanpa lesen atau sebarang pendaftaran.

"Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan.

"Buat masa ini, ia diarahkan tutup sehingga siasatan lebih lanjut selesai dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian yang menimpa dua bayi malang di pusat itu .

Dipercayai kejadian yang menimpa bayi berusia tiga bulan setengah dan tujuh bulan itu berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari.

Difahamkan tragedi itu berlaku selang 10 minit apabila bayi berusia tiga bulan itu dihantar ke sebuah poliklinik di Taman Permata untuk diberi rawatan kecemasan.

Menurut Zaitol, siasatan awal juga mendapati pusat yang merupakan rumah milik persendirian itu menjaga tujuh orang bayi berusia di bawah empat tahun.

"Mereka perlu berdaftar dengan JKM sekiranya menjaga lebih daripada empat orang bayi.

"Jika sabit kesalahan, mereka yang didakwa di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment