My Add

Saturday 21 January 2012

Pusat daftar setempat Aset, Liabiliti


NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan pelajar-pelajar Sekolah Agama Al Zubair Ibnu Awam di Masjid Al Zubair Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN 

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa bertindak bagi mewujudkan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan (Aset dan Liabiliti) Milik Si Mati 1Malaysia.

Kata Perdana Menteri, jawatankuasa bertindak itu akan diterajui oleh Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran pusaka dan akan dianggotai oleh semua pihak yang relevan.

Katanya, menerusi pusat daftar setempat itu, pengesahan harta dan hutang si mati terkini dapat dikenal pasti dengan cepat oleh waris serta semua pihak yang berkepentingan.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terlibat untuk melakukan inovasi aliran proses atau penyelesaian pusaka. Proses kerja, piawaian atau pematuhan mesti diselaraskan agar pentadbiran pusaka dapat dimulakan tanpa perlu menunggu waris memohon membuat pentadbiran pusaka si mati.

“Dengan adanya pusat daftar setempat berinovasi ini, segala proses dapat dibuat dengan lebih mudah dan mengurangkan kesengsaraan waris yang baru kehilangan orang tersayang.

“Inisiatif ini amat bersesuaian dengan slogan Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian sambutan 90 tahun Amanah Raya dan pelancaran Yayasan Amanah Raya di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib pada masa sama mengalu-alukan pihak swasta untuk terlibat menyumbang dalam bentuk kepakaran, teknologi serta kewangan bagi memastikan Pusat Daftar Setempat Harta dan Tanggungan Milik Si Mati 1Malaysia dapat beroperasi secepat mungkin.

“Saya ingin menyeru semua pihak atau agensi yang terlibat untuk sama-sama memberi mekanisme terbaik dan dapat diterima pakai supaya timbul kesedaran untuk mempercepatkan proses pentadbiran pusaka bagi membendung perkara-perkara atau kesan negatif yang berlaku.

“Ini supaya akhirnya rakyat yang akan mengecapi kesenangan hidup kerana percayalah, setiap daripada kita terlibat secara langsung dalam permasalahan wasiat ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan dan mengesahkan pelantikan empat orang Pemegang Amanah Asas Yayasan Amanah Raya.

Katanya, ia akan diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad; tokoh pendidikan, Tan Sri Arshad Ayub; tokoh kewangan, Datin Aminah Pit Ab. Ramah dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ahmad Rosdzi Pak Wan Teh. - UTUSAAN


No comments:

Post a Comment