My Add

Saturday 14 January 2012

Rakyat masih yakin sistem pilihan raya

KOTA BHARU, SABTU, 14 Januari, 2012: Keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini sejak lebih 50 tahun lalu masih tinggi biarpun pembangkang sentiasa mempertikaikan kredibilitinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keyakinan tersebut berdasarkan jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Menurutnya, secara purata sebanyak 73 peratus rakyat yang berdaftar sebagai pemilih keluar mengundi pada setiap pilihan raya umum.

"Keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya di negara ini masih tinggi. Jumlah purata ini menunjukkan jauh daripada apa yang dikatakan pembangkang bahawa rakyat tidak yakin dengan pilihan raya, rakyat yakin sebenarnya.

"Ini statistik, saya bercakap berdasarkan fakta, ini bermakna rakyat yakin dengan pilihan raya," katanya pada Wacana Perdana Pilihan Raya Bersih dan Adil: Realiti Atau Ilusi? di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini semalam.

Beliau merupakan salah seorang daripada dua lagi ahli panel pada wacana yang dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan.

Dua lagi ahli panel ialah Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.

Pada wacana tersebut, Mohamed Nazri menyifatkan Husam yang juga Naib Presiden Pas sebagai 'kebudak-budakan' kerana berhujah bahawa pembangkang telah dapat mengambil alih Putrajaya sekiranya pilihan raya diadakan secara bebas dan adil pada 2008.

"Bagi saya, hujah kalau pilihan raya bersih pembangkang sudah mengambil alih Putrajaya adalah kebudak-budakan. Jangan dengan mudah kata bagi Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor kepada pakatan, yang lain beri kepada Barisan Nasional (BN).

"Mana boleh buat macam itu, macam mana hendak pakat, mengundi adalah rakyat punya hak, kita tidak boleh tentukan. Terlalu kebudak-budakan bila kata kalau pilihan raya bebas kami (pembangkang) ke Putrajaya," katanya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment