My Add

Saturday 7 January 2012

RM190,000 milik kedai pengurup wang lesap disamun

PETALING JAYA, SABTU, 07 Januari, 2012: Seorang pekerja dan pengawal keselamatan sebuah kedai pengurup wang cedera dalam kejadian samun membabitkan wang tunai RM190,000 berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata ketika kejadian, mangsa berada di dalam sebuah kereta Honda Accord yang turut dinaiki oleh dua lagi pekerja syarikat itu, yang dalam perjalanan ke pusat beli-belah berkenaan.

"Kereta mangsa dilanggar dari belakang oleh suspek yang membawa kereta jenis Proton Waja, manakala sebuah lagi kereta jenis Naza Citra menghalang kereta mangsa dari hadapan.

"Sementara itu, sebuah lagi kereta jenis Naza Citra dan sebuah motosikal turut mengepung kereta mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mangsa, yang mencederakan pengawal keselamatan yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini. 

Beliau berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam tadi, suspek melarikan wang yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang selepas memukul kepala pekerja kedai pengurup wang tersebut dengan sebatang besi. 

"Seramai enam hingga tujuh suspek dipercayai terbabit," kata Arjunaidi. 

Bagaimanapun, kesemua suspek berjaya melarikan diri dengan menggunakan sebuah Naza Citra dan motosikal. 

Suspek meninggalkan Proton Waja dan Naza Citra yang digunakan dalam kejadian itu. 

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 

Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment