My Add

Tuesday 17 January 2012

RM302j untuk 9,000 rumah PBR

MOHD. Shafie Apdal meninjau kemudahan di Kampung Sum-Sum di Semporna, Sabah sebelum menyempurnakan Program Cadangan Membina Titi Pejalan Kaki Konkrit Secara Pilot di kampung tersebut, semalam.

SEMPORNA, SELASA, 17 Januari, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM302 juta bagi melaksanakan projek membina dan membaik pulih 9,000 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini sejajar dengan wawasan kerajaan untuk menyediakan perumahan yang lebih selesa kepada golongan miskin tegar, warga tua, golongan yang uzur dan cacat serta ibu tunggal yang banyak tanggungan.

Beliau berkata, tahun lepas sahaja, 9,000 unit rumah PBR berjaya dibina dan diduduki rakyat termiskin.

“Ini menunjukkan kerajaan sedia ada benar-benar prihatin dalam membela nasib rakyat terutama golongan miskin, di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum-Bum dan Kampung Sum Sum, di sini semalam.

Shafie turut mengumumkan bahawa kos membina rumah percuma untuk rakyat termiskin menerusi PBR dinaikkan daripada RM43,000 seunit kepada RM50,000 tahun ini.

Katanya, kos membaik pulih rumah juga dinaikkan daripada RM12,000 seunit kepada RM13,000.

“Semua ini mengambil kira faktor kenaikan harga bahan binaan,” katanya.

Ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sum-Sum, Shafie pula berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa menemui penduduk dalam usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya seperti pembangkang yang hanya mempunyai agenda bermusim terutama apabila menjelang musim pilihan raya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia dapat dilakukan sepanjang masa kerana hanya kerajaan BN yang telah membuktikan ia mampu membela nasib dan masa depan rakyat selama ini.

Sebaliknya, kata beliau, pembangkang hanya melancarkan pelbagai kempen untuk memenangi hati rakyat secara bermusim kerana sasaran mereka hanya untuk mendapatkan undi simpati pada pilihan raya semata-mata.

“Begitu juga dengan kehadiran parti politik baru di negeri ini yang hanya muncul seketika pada pilihan raya tetapi kemudian hilang begitu sahaja seperti apa yang berlaku sebelum ini; dan ia langsung tidak menggusarkan BN,’’ katanya.

Oleh itu, tambahnya, rakyat perlu bijak untuk menilai antara intan dan kaca kerana pelbagai perubahan serta kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada kepimpinan BN yang kini diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pada masa yang sama pembangkang seharusnya melupakan hasrat untuk memasang harapan di negeri ini kerana rakyat sudah pun memberi mesej yang cukup jelas kepada mereka dalam beberapa pilihan raya lalu,” kata Shafie.

Sempena program tersebut, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna turut menyempurnakan perasmian Program Cadangan Membina Titi Pejalan Kaki Konkrit Secara Pilot di Kampung Sum-Sum serta penyerahan limrorouroa buah enjin sangkut dan beberapa bantuan lain kepada penduduk setempat. -  UTUSAN

No comments:

Post a Comment