My Add

Monday 23 January 2012

RM528.6j projek prasarana di Pahang

MOHD. Shafie Apdal (kiri) beramah-mesra dengan penduduk Kampung Tembeling Tengah, Taman Negara sebelum merasmikan Bangunan Serbaguna kampung itu di Jerantut, kelmarin.

JERANTUT, ISNIN 23 Januari, 2012: - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM528.6 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan prasarana di luar bandar di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, RM251 juta bagi melaksanakan pembinaan jalan luar bandar, RM164 juta projek bekalan air, RM95 juta bantuan masyarakat dan RM21 juta bekalan elektrik.

Menurutnya, peruntukan tersebut tidak akan berhenti setakat itu sahaja kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela nasib rakyat dengan melaksanakan lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar.

"Kerajaan BN bekerja sepanjang masa dan tidak bermusim, juga tanpa mengira sama ada pilihan raya atau tidak kerana matlamat utama kerajaan adalah bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan BN bertanggungjawab dan tetap menunaikan segala janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya. Pembinaan lebih banyak rumah kepada golongan miskin misalnya membuktikan kerajaan prihatin dan menunaikan janji," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Mesra Rakyat Bersama Pemimpin di rancangan Felcra Tembeling Tengah dekat Kuala Tahan di sini, petang kelmarin.

Menurut beliau, tidak ada kerajaan di dunia seperti Malaysia yang membina rumah secara percuma kepada rakyat dan ia dikagumi oleh pemimpin dan rakyat negara lain.

Pada masa sama, Mohd. Shafie membidas pembangkang yang hanya tahu mengkritik kerajaan, sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa dengan sekadar pandai menabur janji kosong kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang ternyata palsu kerana di negeri yang diperintah oleh mereka sendiri, ia turut gagal dilaksanakan.

Tambahnya, ini berbeza dengan Kerajaan Pusat yang tidak pernah mendiskriminasi negeri yang diperintah pembangkang

Contohnya kata Mohd. Shafie, 70 peratus peruntukan pembangunan di Kelantan disalurkan oleh Kerajaan Pusat menerusi pelbagai kementerian. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment