My Add

Tuesday 10 January 2012

Saya tidak didesak sesiapa untuk gugurkan Hasan Ali: Khalid

KLANG, SELASA, 10 Jaanuari, 2012: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau tidak didesak oleh sesiapa untuk menggugurkan Datuk Dr Hasan Ali sebagai anggota exco negeri. 

Abdul Khalid berkata, Hasan sewajarnya mengosongkan secara sukarela jawatan pengerusi tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri akibat beliau dipecat dari parti itu.

"Saya masih menunggu senarai pengganti bagi Hasan dari pucuk pimpinan PAS dan menjangkakan akan menerimanya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar alam sekitar anjuran Majlis Perbandaran Klang di sini, hari ini.

Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat oleh PAS, Ahad lalu, kerana tindakannya yang dianggap menyalahi dan merugikan kepentingan parti. 

Abdul Khalid berkata, walaupun pucuk pimpinan PAS mempunyai kuasa untuk menentukan wakilnya dalam barisan exco negeri, ini tidaklah secara "mutlak". 

Beliau berkata, beliau akan mengadap Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda mengenai perkembangan terbaru dan membincangkan calon sesuai bagi jawatan itu. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment