My Add

Saturday 14 January 2012

Semak semula SBPA: CUEPACS mahu jadi suara utama

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13 JanuariKongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu turut terlibat dalam jawatankuasa perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar tiada lagi isu berbangkit selepas ia dimuktamadkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini berikutan pada perangkaan peringkat awal skim berkenaan, CUEPACS tidak dipanggil untuk berunding atau memberi sebarang pandangan.

“Oleh itu, kami perlu menjadi ‘suara’ utama dalam perbincangan dengan jawatankuasa semakan semula bagi memberi pandangan dan menyampaikan maklum balas daripada penjawat awam.

“Suara itu mewakili semua pengurusan dan kesatuan sekerja yang menyuarakan pelbagai persoalan dan pandangan dalam siri jelajah seluruh negara sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat CUEPACS, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim tersebut.

Katanya, CUEPACS akan menjelajah ke seluruh negara bermula awal Februari ini bagi menerangkan kepada semua penjawat awam berhubung semakan semula skim berkenaan.

“Penjawat awam dinasihatkan bersabar dan tenang menjalankan tugas masing-masing seperti biasa kerana tempoh dua bulan semakan semula itu diyakini akan melegakan semua pihak.

“Mereka juga tidak perlu bimbang tentang tarikh pelaksanaan SBPA yang sudah berkuat kuasa kerana tunggakan pembayaran gaji akan dibuat setelah dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Osman berharap semakan semula itu nanti akan menjadikan skim tersebut dilihat lebih adil dan saksama kepada seluruh penjawat awam tidak kira aspek kenaikan gaji atau sebagainya. Kalau boleh biarlah ia dijadikan satu skim yang merangkumi segalanya. – UTUSAN


No comments:

Post a Comment