My Add

Tuesday 10 January 2012

Semakin ramai peneroka sokong

TEMERLOH, SELASA, 10 Januari, 2012:. Semakin ramai peneroka menyokong cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) setelah menyedari langkah itu membawa banyak manfaat kepada mereka termasuk generasi kedua dan ketiga peneroka Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, sebelum ini sebahagian besar peneroka berasa keliru setelah terpengaruh dengan hasutan pihak yang ingin menggagalkan usaha penyenaraian tersebut.

Menurut beliau, setelah mendengar penjelasan dan menghadiri beberapa siri sesi dialog, mereka berpuas hati apabila kerajaan memberi jaminan semua manfaat dan hak yang diterima sebelum ini akan dikekalkan.

"Mereka tidak perlu bimbang kerana penyenaraian itu nanti akan memberi keuntungan kepada para peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang akan memegang saham terbesar dalam FGVH.

"Kewujudan FGVH akan dapat membantu kehidupan para peneroka menjadi lebih baik terutamanya jika harga komoditi kelapa sawit dan getah jatuh di pasaran dunia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan pegawai, kakitangan Felda dan pemimpin peneroka wilayah Mempaga, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut Mohd. Isa, para peneroka tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil kelapa sawit dan getah kerana harga pasaran kedua-dua komoditi itu tidak menentu.

Malah katanya, menjadi hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan FGVH antara 10 syarikat terbaik di negara ini selepas Petronas.

"Pihak tertentu dan pembangkang sengaja menimbulkan kekeliruan di kalangan peneroka kerana mereka ingin memberikan gambaran kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan taraf hidup para peneroka," katanya.

Selain itu, jelasnya, pembangkang mahu melihat kehidupan para peneroka kekal di takuk lama supaya dapat dieksploitasi untuk kepentingan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment