My Add

Thursday 19 January 2012

Shah Rukh Khan diundang lancar filem di Melaka

JASIN, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Kerajaan negeri mengundang pelakon popular Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (gambar) ke negeri ini untuk membuat pelancaran dan mempromosikan filem terbaru lakonannya berjudul Don 2.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, setakat ini kerajaan negeri belum mendapat sebarang keputusan daripada pihak pengurusan pelakon popular itu.

"Belum ada kata putus lagi. Saya akan bertanya kepada wakil beliau sama ada mereka mahu lancarkan filem itu di negara ini dan kalau mahu bolehlah buat di Melaka.

"Saya cadangkan di Melaka sebab sebahagian daripada penggambarannya dijalankan di negeri ini," katanya di sini semalam.

Mohd. Ali berkata, beliau difahamkan filem yang sudah ditayangkan secara serentak di pawagam seluruh dunia pada 23 Disember tahun lalu memuatkan babak selama 23 minit yang penggambarannya dilakukan sekitar Penjara Sungai Udang di sini, Kuala Lumpur dan Langkawi.

"Penghargaan yang diberikan kepada Melaka sudah cukup memadai kerana filem itu ditayangkan di seluruh dunia. Apa yang penting, penghargaan yang diberikan itu kalau kita nak bayar mungkin sudah mencecah nilai jutaan ringgit," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana komen yang diberikan baru-baru ini tentang negeri itu yang dilaporkan oleh akhbar New York Times sebagai antara 45 destinasi utama yang patut dilawati pada tahun ini.

Katanya, ia merupakan pengiktirafan dunia kepada negara khususnya Melaka yang memungkinkan peningkatan kedatangan pelancong asing ke negeri itu pada tahun ini.

"Oleh itu, rakyat di negeri ini perlu bersedia dari segi meningkatkan kualiti pelbagai kemudahan dan perkhidmatan serta bersikap lebih mesra dengan pelancong," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment