My Add

Friday 20 January 2012

Shahrizat saman RM100 juta

Dua ahli PKR didakwa fitnah, kaitkan dengan PFN

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM100 juta daripada Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli kerana mengaitkannya dengan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN).

Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sini, semalam, melalui peguamnya Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Shahrizat berkata, suaminya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang juga Pengerusi Eksekutif National Feedlot Cooperation Sdn Bhd (NFC) dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izmir, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah adalah pemegang saham dan pengarah Agro-Science Industry Sdn Bhd iaitu syarikat induk yang memiliki hampir semua saham terbitan NFC dengan satu saham keutamaan dipegang Kerajaan Malaysia.

Shahrizat yang kini bercuti tiga minggu, berkata beliau tidak pernah memiliki sebarang ekuiti mahupun memegang jawatan sebagai pengarah di NFC, Agro-Science Industry atau mana-mana syarikat yang bersekutu dengannya. 

Katanya, pada atau lebih kurang November 2009, Mohd Rafizi yang dinamakan sebagai defendan pertama dan defendan kedua, Zuraida (yang juga Ahli Parlimen Ampang) mengadakan satu siri kenyataan akhbar di beberapa lokasi termasuk di lobi Parlimen mengecam NFC, suami dan keluarganya.

“Kedua-dua defendan dengan niat jahat politik secara serentak melancarkan kempen mencemarkan nama baik saya dengan mensabitkan saya dalam setiap isu berkaitan NFC walaupun tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam NFC, Agro-Science Industry Sdn Bhd atau syarikat bersekutunya.

“Defendan secara sistematik dan niat jahat melancarkan satu kempen untuk menyerang dan memfitnah dengan cara menyebarkan pelbagai fitnah dan tuduhan terhadap saya selaku Ketua Wanita UMNO, menteri dan juga dalam kapasiti individu saya,” katanya.

Shahrizat berkata, Mohd Rafizi juga mengeluarkan pelbagai kenyataan, sidang akhbar dan menerbitkan artikel dalam laman web atau blognya di www.rafiziramli.com, termasuk sidang media di lobi Parlimen pada 30 November tahun lalu yang kemudian turut diterbitkan dalam blog www.keadilandaily.com.

Katanya, Mohd Rafizi juga terus menyerang nama baiknya apabila menulis dan menerbitkan artikel dalam blognya bertajuk ‘Skandal NFC Soal Pertanggungjawaban Amanah Adalah Isu Pokok’ pada 18 November 2011, ‘Pendedahan Skandal NFC: Ada Unsur-Unsur Penyelewengan Wang Rakyat’ pada 8 November 2011 dan ‘Skandal NFC: Dana NFC Digunakan Beli Mercedes Mewah, Tanah Di Putrajaya, Membiayai Percutian Mewah dan Dipindahkan Ke Singapura’ pada 30 November.

“Zuraida mengeluarkan kenyataan dan sidang akhbar yang memfitnah saya dan diterbitkan laman web rasmi PKR, www.keadilandaily.com pada 8 November 2011, artikel Sidiqin Omar pada 27 November 2011 bertajuk ‘Isu NFC Akan Tumbangkan BN – Wanita KEADILAN’, artikel bertajuk ‘NFC Dapat Kontrak Kerana Shahrizat Menteri UMNO – Zuraida’ diterbitkan pada 28 November 2011 dan melalui sidang media di lobi Parlimen pada 30 November 2011,” katanya.

Shahrizat berkata, perkataan dalam artikel oleh kedua-dua defendan itu bermaksud dan difahamkan membawa maksud beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Ketua Wanita UMNO, ahli kanan kerajaan dan menteri serta mempengaruhi keputusan menganugerah-kan projek PFN kepada Agro-Science Industry.

Katanya, ia juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan mempengaruhi keputusan kerajaan seterusnya melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Kenyataan fitnah itu juga bermaksud saya bertanggungjawab atas sebarang keputusan dibuat pengurusan NFC, harus bertanggungjawab dan dianggap bersalah terhadap sebarang keputusan dibuat NFC dan adalah seorang menteri serta anggota Kabinet yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrizat menuntut daripada kedua-dua defendan ganti rugi am dan teruk serta teladan masing-masing sebanyak RM50 juta, perintah injunksi menahan mereka daripada membuat kenyataan sama ada bertulis atau secara lisan atau penerbitan terhadapnya berkaitan dengan isu NFC atau syarikat bersekutu, faedah, kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Zuraida dan Rafizi yang dihubungi berkata mereka sudah menjangkakan akan disaman berhubung isu NFC dan sedia berdepan Shahrizat di mahkamah. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment