My Add

Saturday 14 January 2012

SPRM pantau projek MRT elak penyelewengan

PUTRAJAYA, SABTU, 14 Januari, 2012: Pelaksanaan projek My Rapid Transit (MRT) dari Sungai Buloh ke Kajang akan dipantau sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memeterai perjanjian Pakatan Integriti (IP) dengan pemajunya, MRT Corp. bagi menghalang berlakunya penyelewengan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, di bawah sistem pemantauan tersebut, SPRM bersama-sama dengan Transparency International (TI), Jabatan Audit dan agensi kawal selia yang lain akan memantau dan mencegah amalan ketirisan, pembaziran dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek mega tersebut.

Beliau berkata, MRT Corp. merupakan syarikat pelaksana projek mega pertama yang menandatangani perjanjian integriti seumpama itu di negara ini.

"Dalam mekanisme ini, pihak syarikat perlu menyediakan saluran aduan yang membolehkan pekerja dan orang ramai membuat laporan mengenai salah laku. Mereka juga boleh membuat aduan secara terus kepada SPRM sekiranya mengesan adanya unsur-unsur jenayah rasuah.

"Menerusi pemantauan ini pihak syarikat perlu mengikut setiap tatacara yang telah dipersetujui dan menyerahkan laporan tahunan mengenai aktiviti yang telah dijalankan untuk meningkatkan sistem tadbir urus yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low di sini, semalam.

Sutinah berkata, di bawah perjanjian yang sama, SPRM akan menyediakan khidmat nasihat selain memberi latihan mengenai hal-hal pencegahan rasuah di Akademi SPRM.

"Program-program yang akan dijalankan adalah merangkumi aspek kesedaran, punca rasuah selain bagaimana laporan boleh dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, selain MRT Corp. dan rakan pelaksana projek MRT, MMC-Gamuda, kesemua kontraktor dan sub-kontraktor projek MRT juga perlu menandatangani perjanjian integriti masing-masing.

"MRT bersedia menyertai perjanjian IP dengan SPRM dalam tempoh dua minggu lagi dan kontraktor-kontraktor MRT yang dilantik juga perlu menandatangani perjanjian yang sama dengan kita untuk menjauhi amalan rasuah dan penyelewengan," katanya.

Jelasnya lagi, MRT dijangka menganugerahkan 90 pakej projek kepada kontraktor berlainan dan mereka akan melantik sub-kontraktor masing-masing.

Cadang MRT Corp. tolak bidaan Alstom

Seementara itu SPRM) mencadangkan kepada MRT Corp. supaya menolak sebarang bidaan daripada Kumpulan Alstom (Alstom) yang pernah didenda di Switzerland kerana merasuah pegawai kerajaan dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Datuk Sutinah berkata, SPRM berpendirian tegas bahawa MRT Corp. tidak harus bertolak ansur dengan syarikat yang didapati bersalah dan didenda kerana mengamalkan rasuah.

“MRT Corp. dicadang supaya tidak mempertimbangkan permohonan daripada Alstom, SPRM juga masih menjalankan siasatan ke atas syarikat ini,” katanya.
  
SPRM sebelum ini mengambil tindakan proaktif untuk menyiasat Kumpulan Alstom selepas media melaporkan syarikat itu terlibat dalam merasuah pegawai kerajaan dari beberapa negara termasuk Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment