My Add

Thursday 19 January 2012

Surau di Setapak dikekalkan

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Syarikat pemaju hartanah, 59 iNC Sdn. Bhd. yang mempunyai hak membangunkan sebidang tanah di Setapak Permai di Setapak, Kuala Lumpur memberi jaminan surau di kawasan tersebut akan dikekalkan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, jaminan tersebut diperoleh pada perbincangan dengan pihak terbabit di sini, semalam.

Perbincangan itu turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Pengarah Urusan 59 iNC, Fadzil Ahmad.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, isu surau itu tercetus disebabkan salah faham antara penduduk dan pemaju yang tidak berbincang terlebih dahulu bentuk pembangunan di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat untuk memperjelaskan secara terperinci isu tersebut dalam masa terdekat.

“Sebenarnya isu ini sengaja diperbesarkan oleh sesetengah pihak walhal pelan pembangunan di kawasan tersebut masih di peringkat awal di mana kami hanya baru menghantar notis pemberitahuan kepada penduduk.

“Dan dalam notis itu kami tidak pernah keluarkan arahan mengosongkan atau merobohkan surau. Jika pembangunan diadakan sekali pun, sebuah lokasi bersesuaian akan dipilih untuk dijadikan (tapak) surau,” katanya.

Baru-baru ini, isu pembangunan di Setapak Permai kecoh apabila sekumpulan penduduk dan peniaga mempertahankan sebuah surau dan bengkel di kawasan itu daripada dirobohkan berikutan penerimaan notis yang mereka dakwa arahan mengosongkan premis mereka sebelum 30 Januari ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Putra Damai Setapak, Shahrudin Sapian yang mewakili hampir 70 peniaga di situ kecewa kerana peniaga yang sudah bertapak sejak 1995 diarah meninggalkan kawasan itu tanpa ada sebarang perbincangan.

Sementara itu, ditanya isu bengkel yang diberi notis untuk dikosongkan, katanya, pihaknya akan bertemu dengan pengusaha bengkel tersebut dalam masa terdekat ini.

“Kami sekarang dalam proses akhir menyenaraikan semua pengusaha yang terlibat dan mereka ini kami akan jumpa untuk berbincang sama ada perlu dipindahkan atau diberi pampasan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, setiap pelan pembangunan yang hendak diluluskan perlu mematuhi syarat ketat oleh kerajaan di mana setiap kemudahan awam seperti surau dan jalan keluar dan masuk perlu disediakan.

Katanya, jika syarat asas tersebut gagal dipatuhi kerajaan boleh membatalkan permohonan pembangunan di kawasan itu. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment