My Add

Monday 9 January 2012

Tiada tanda pengawal Azizah disuntik, diracun

BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 09  Januari, 2012: Pemeriksaan perubatan terhadap pengawal peribadi kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendapati tiada tanda-tanda bahawa lelaki itu diracun atau disuntik dengan racun seperti dilaporkan blog-blog.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, berdasarkan pemeriksaan terdapat kesan calar kecil pada tapak tangan kiri Fayyadh Afiq Al-Bakry Jaafar Siddiq, 26, sepanjang kira-kira 0.4 sentimeter.

"Mangsa sendiri memberitahu dia belum pasti sama ada benar-benar disuntik atau terkena sesuatu objek ketika dia mengiringi Wan Azizah," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di HSJ di sini, semalam.

Ayub memberitahu, sebuah pasukan khas yang diketuai Pengarah Hospital Seberang Jaya (HSJ), Dr. Azlina Mohd. Radzi dan dianggotai Pakar Perunding Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr. Zahari Noor dan Pakar Perubatan Dalaman HSJ, Dr. Teoh Guik Lee ditubuhkan untuk merawat mangsa.

Menurutnya, pihak hospital juga telah menghantar sampel darah dan air kencing mangsa ke Jabatan Kimia bagi dianalisis bertujuan mengesan sama ada ia dicemari dengan racun seperti didakwa.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara itu kerana polis masih menjalankan siasatan mengenainya.

"Berilah peluang kepada pihak hospital dan polis menjalankan tanggungjawab untuk mengetahui punca sebenar mengikut peraturan dan undang-undang yang dibenarkan," tambahnya.

Beberapa blog pembangkang hari ini mendakwa, Fayyadh Afiq Al-Bakry terkena suntikan racun semasa mengiringi Wan Azizah naik ke atas pentas dalam satu ceramah politik parti itu di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam malam kelmarin.

Mangsa dikatakan semakin lemah ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas ceramah itu dan kemudian dihantar ke HSJ untuk rawatan.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment