My Add

Tuesday 10 January 2012

Tidak ramai




SEBAHAGIAN penyokong Anwar Ibrahim yang berhimpun di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA



KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Januari, 2012: Perhimpunan 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang dirancang untuk menuntut keadilan ketika keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan hari ini, tidak mendapat sambutan sebagaimana diharapkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika sebelum ini, PKR bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta bagi menyatakan sokongan kepada Anwar, dianggarkan hanya lebih 4,500 penyokong hadir dan berkumpul di pekarangan tempat letak kereta dan sepanjang jalan masuk ke kompleks mahkamah itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi berhampiran kompleks mahkamah mendapati, sebahagian penyokong meletakkan kenderaan masing-masing di pekarangan Masjid Wilayah sebelum berarak ke kompleks mahkamah.

Sebahagian lagi peserta yang tidak membawa kenderaan difahamkan tidur di situ dan sudah berada di kawasan kompleks sejak pukul 1 pagi semalam.

Seorang wanita warga emas yang menyertai perhimpunan itu sanggup membawa dua cucunya yang kurang upaya ke lokasi perhimpunan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Pekarangan kompleks mahkamah bergema dengan laungan reformasi sebaik sahaja penyokong mengetahui keputusan mahkamah tersebut.

Anwar bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail keluar ke pekarangan Kompleks Mahkamah untuk bertemu dengan penyokong-penyokong sebelum menyampaikan sedikit ucapan.

Bagaimanapun, suasana bertukar kecoh apabila berlaku tiga letupan di luar pekarangan mahkamah ketika Anwar sedang memberikan ucapan.

Letupan tersebut menggemparkan beberapa penyokong dan pihak media ketika berada di kawasan berhampiran hingga menyebabkan lima individu mengalami kecederaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment