My Add

Tuesday 17 January 2012

Tingkatkan keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Januari, 2012: Pelbagai pihak Isnin menyambut baik cadangan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria agar para hakim perlu mengisytiharkan harta.

Ketika mengalu-alukan cadangan itu, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata, ini langkah penting ke arah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman dan majlis ini menyokongnya.

“Penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak ketiga, akan memperkukuhkan persepsi keadilan yang wujud dalam pengesahan perisytiharan harta,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Chee Wee juga mengalu-alukan langkah Arifin mengingatkan para hakim supaya menjunjung kebebasan badan kehakiman dan menolak campur tangan dalam sebarang bentuk.

Berucap merasmikan persidangan para hakim selama empat hari yang bermula semalam, Arifin berkata, hakim mungkin diwajibkan mengisytiharkan harta tidak lama lagi untuk meningkatkan ketelusan dan integriti badan kehakiman.

Arifin berkata, badan kehakiman akan bekerjasama dengan SPRM dalam perkara ini sambil mengingatkan hakim supaya mempertahankan kebebasan badan itu serta tidak melayan sebarang bentuk campur tangan dalam membuat penghakiman, sama ada daripada pihak eksekutif atau isteri masing-masing.

Mengikut Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009, seseorang hakim perlu mengisytiharkan harta secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara sebaik saja beliau dilantik ke jawatan itu atau pada mana-mana masa selepas itu, jika dikehendaki berbuat demikian.

Langkah itu akan melibatkan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman.

Sementara itu, Jemaah Kebangsaan Jaksa-Jaksa Pendamai dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, cadangan itu adalah hadiah baru kepada negara ketika kebertanggungjawaban dan ketelusan merupakan sesuatu yang menjadi perkara utama dalam minda masyarakat.

Katanya, nasihat Ketua Hakim Negara kepada para hakim supaya bersifat jujur kepada diri sendiri dan meletak jawatan sekiranya tidak mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, merupakan seruan yang amat jelas dan dibuat pada waktu yang amat tepat.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low juga menyambut baik cadangan Ketua Hakim Negara agar para hakim mengisytiharkan harta dan berharap pegawai awam dan pegawai lain yang dilantik, sama ada daripada kerajaan, Pembangkang atau Bebas, mengisytiharkan harta masing-masing apabila menerima jawatan dan pada waktu yang ditetapkan selepas itu.

Katanya, TI-M berharap setiap pegawai juga diperlukan mengisytiharkan semua tanggungan, pinjaman dan hutang masing-masing. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment