My Add

Saturday 21 January 2012

TPM: Tingkatkan kualiti alam sekitar

MHYIDDIN Yassin (tengah) bergambar dengan penerima-penerima Anugerah semasa majlis penyampaian Anugerah Hibiscus 2010/2011 Perdana Menteri di Subang Jaya, malam tadi. - utusan/Ghazali Basri

Oleh NORIZAN MUHID
KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat perniagaan agar meningkatkan pelbagai aktiviti yang dapat membantu menambah baik penjagaan kualiti alam sekitar di negara ini.

Menurut beliau, antara aktiviti yang boleh dilakukan seperti memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau di samping mengelak penjualan produk atau perkhidmatan yang boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Katanya, selain itu, syarikat juga boleh melaksanakan pelbagai perubahan kepada nilai-nilai dalaman syarikat dan penggubalan semula strategi pemasaran dan penjenamaan yang selari dengan ciri-ciri mesra alam.

"Bagi tujuan ini, pelbagai aktiviti boleh dijana meliputi pembangunan dan penglibatan pekerja, transformasi komuniti, pengurangan karbon dan penghapusan sisa buangan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Hibiscus Perdana Menteri 2010/2011 di sini, semalam.

Anugerah yang mula diperkenalkan tahun 1996 itu dianjurkan oleh The Business Council for Sustainability and Responsibility Malaysia (BCSRM), Persatuan Penyelidikan dan Pengurusan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH), Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia (MCCI)

Anugerah Hibiscus Perdana Menteri diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai pelbagai sektor yang mencapai prestasi cemerlang dalam penjagaan alam sekitar ketika menjalankan operasi perniagaan mereka dan penggunaaan amalan-amalan pengurusan alam sekitar yang cekap.

Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk operasi gas dan minyak di Terengganu serta Shangri-la Tanjung Aru Resort Spa, Sabah terpilih menerima Anugerah Pencapaian Terbaik.

Sebanyak 21 syarikat lain yang mewakili pelbagai industri seperti besi, rokok dan kimia juga menerima beberapa anugerah pencapaian masing-masing.

Selain itu, menurut Muhyiddin, walaupun bilangan syarikat atau masyarakat perniagaan menjaga kepentingan alam sekitar semakin meningkat, namun bilangan mereka masih rendah walaupun usaha itu telah bermula sejak tahun 1970an.

Tegas Muhyiddin, biarpun negara sudah memperuntukkan perundangan yang komprehensif dari semasa ke semasa dengan menggubal pelbagai akta, namun negara masih berhadapan dengan cabaran-cabaran alam sekitar seperti pencemaran sungai dan ancaman biodiversiti negara.

Keadaan itu, kata beliau, berpunca dari sikap pihak tertentu yang kurang bertanggungjawab dan cuai dengan melakukan pencemaran alam sekitar, ketidakpatuhan piawaian yang ditetapkan dan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment