My Add

Saturday 21 January 2012

Tragedi selepas majlis kahwin

Oleh ASLIZA MUSA dan HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR, SABTU, 21 Januari, 2012: Kegembiraan enam sekeluarga yang baru pulang menghadiri majlis perkahwinan berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 253.3, Lebuh Raya Utara Selatan di sini awal pagi semalam.

Nahas berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi apabila kereta jenis Proton Perdana V6 yang dinaiki keluarga itu gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan gulungan plat besi.

Mereka yang terbunuh ialah M. Letchumy, 77, A. Espury, 60, dan R. Naren, 5.

Tiga anggota keluarga yang parah ialah pemandu kereta itu, S. Ambiggan, 26, A. Maruthayee, 53, dan S. Veneswaran, 11.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Ghafar Mohamad berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kampung Benggali, Sungai Puyu, Pulau Pinang selepas menghadiri majlis itu di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Semasa kejadian, hujan renyai dan keadaan lebuh raya itu agak licin, manakala treler pula dipandu perlahan mendaki bukit di laluan kiri.

"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mangsa tidak sempat membrek lalu merempuh belakang treler berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Ghafar, kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera dirawat di Hospital Taiping.

Kemalangan itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dan memandu secara melulu dan membahayakan.

Sementara itu, anak Letchumy, A. Maniveran, 40, yang juga anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkata, dia berkonvoi bersama kenderaan dinaiki ibunya itu sebelum dia berpisah untuk pulang ke rumahnya di Ipoh.

"Sebelum ini, saya sering angkat mayat orang lain, tetapi saya tidak sangka pada hari ini angkat mayat ahli keluarga sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment