My Add

Sunday 22 January 2012

Undang-undang berdasar aduan, bukan mengaibkan sesiapa

KUANTAN 22 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan tidak menggunakan peruntukan undang-undang kesalahan liwat untuk mengaibkan mana-mana pemimpin politik seperti didakwa pihak tertentu.

Jelas Perdana Menteri, sebaliknya asas pertuduhan liwat itu dibuat apabila terdapat aduan daripada mangsa kerana setiap rakyat negara ini mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang tanpa mengira kedudukan.

"Tidak diaibkan. Ia soal aduan yang dibuat oleh seorang individu. Dalam undang-undang negara ini, semua orang ada hak yang sama tanpa mengira kedudukan.

"Kita tak boleh ada dua set undang-undang, satu pembangkang, satu untuk yang lain," katanya sebagai mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan undang-undang berkaitan liwat digunakan kerajaan untuk memalukan musuh politik di negara ini.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Laman web www.malaysiakini.com dalam laporannya menyatakan Anwar mencadangkan supaya undang-undang yang didakwanya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional (BN) terlibat dalam keputusan Pejabat Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat, Najib berkata, kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam hal itu sudah jelas.

''Kenyataan Peguam Negara sudah jelas, bahawa ini soal individu bukan libatkan kerajaan," tegas Perdana Menteri.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada undang-undang yang didakwa sebagai lapuk akan dimansuhkan atau tidak, Najib berkata: "Apa undang-undang pun dibuat atas kepentingan masyarakat. Kalau kepentingan masyarakat masih merasakan undang-undang itu wajar dikekalkan, jadi kita tak akan pinda."

Sementara itu, Najib mengakui ramai yang melihat pendirian pembangkang dalam perkara itu memperlihatkan seolah-olah mereka mengamalkan dwi standard iaitu mahukan dua set undang-undang yang berbeza untuk pemimpin mereka.

Katanya, malah dalam soal kebebasan akhbar sendiri boleh dilihat sikap dwi standard pembangkang itu apabila hanya membenarkan media tertentu sahaja membuat liputan sidang akhbar mereka.

''Malah ada akhbar yang disekat sama sekali walhal kalau kita percaya kepada kebebasan media, mengapa kita nak sekat media tertentu hadir sidang akhbar kita. Itu satu contoh (demokrasi pembangkang)," jelasnya. - MM

No comments:

Post a Comment