My Add

Saturday 21 January 2012

Usaha kerajaan bukan untuk manfaat sektor korporat sahaja

JITRA, SABTU, 21 Januari, 2012: Setiap usaha kerajaan dalam merancakkan sektor ekonomi negara selama ini tidak hanya memberi manfaat kepada golongan korporat atau syarikat-syarikat besar sahaja, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, sebaliknya keuntungan yang diperolehi setiap golongan korporat yang berjaya membantu kerajaan melonjakkan ekonomi negara akan dikongsi bersama rakyat secara saksama.

"Kita tak boleh kata usaha kerajaan hanya beri manfaat kepada syarikat-syarikat besar dan tidak kepada rakyat sebab bila peluang dibuka kerajaan, sektor swasta yang terbabit akan dapat meraih keuntungan.

"Apabila untung mereka akan membayar cukai pendapatan yang kerajaan akan guna kembali untuk membina keperluan untuk rakyat seperti sekolah, jalan raya dan perkhidmatan keselamatan seperti polis," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran biasiswa tajaan Syarikat Kumpulan Usima (Usima) di SMK Megat Dewa, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata program pada hari ini adalah salah satu contoh di mana syarikat swasta turut bersama kerajaan membantu meringankan beban rakyat yang menghadapi kesempitan hidup.

Mukhriz berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat, tetapi masih ada ruang untuk pihak swasta bersama membantu menghulurkan sumbangan.

Pada majlis berkenaan seramai 642 pelajar tahun satu hingga tingkatan enam dalam Parlimen Jerlun adalah anak yatim dan dari kalangan keluarga daif menerima sumbangan RM300 setiap seorang daripada Usima.

Pengerusi Usima, Datuk Yusof Ismail berkata, sumbangan biasiswa itu adalah aktiviti sosial syarikatnya yang dimulakan sejak tiga tahun lalu.

"Setiap tahun kita bagi dua kali iaitu pada bulan Januari dan Jun. Ini merupakan tanggungjawab kami yang selama ini menyokong kuat usaha kerajaan pusat dalam membantu meringankan beban rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment