My Add

Saturday 21 January 2012

Usahawan Bumiputera digalak ceburi sektor inovasi, kreativiti

GURUN, SABTU, 21 Januari, 2012 : Usahawan Bumiputera digalakkan menceburi sektor pertumbuhan tinggi untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, pembabitan usahawan Bumiputera dalam sektor yang memerlukan inovasi dan kreativiti masih berada pada tahap yang rendah kerana kebanyakan mereka memberi tumpuan kepada industri tradisi saja.

Katanya, usahawan Bumiputera akan mendapat kesan yang kurang memuaskan terhadap perkembangan perniagaan mereka sekiranya hanya memberi fokus kepada perniagaan yang tidak mempunyai inovasi dan kreativiti.

"Katalah dia nak terbabit dalam pertanian sekalipun, ada unsur inovasi maka pulangannya pun lebih lumayan tetapi kalau dia masih dalam industri kecil yang tak banyak menggunakan inovasi jadi pulangannya terlampau rendah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra dan jamuan teh Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Kedah di Harvard Jerai di sini, semalam.

Mukhriz berkata, walaupun usahawan bumiputera mengalami kekangan daripada segi modal untuk berada dalam industri berkenaan namun ia bukan halangan yang besar kerana sikap berani mencuba perkara yang baru dapat mengatasi masalah tersebut.

"Kita tengok syarikat yang berjaya walaupun menggunakan modal yang kecil, tetapi kerana mereka berani menggunakan inovasi maka mereka boleh melonjakkan pulangan mereka ke tahap yang begitu memberangsangkan," kata Mukhriz.

Bagaimanapun beliau mengesyorkan usahawan Bumiputera supaya membuat kajian pasaran secara menyeluruh terlebih dulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan untuk memahami kehendak pasaran.

Dewan Muda DPMM Negeri Kedah dilancarkan pada 2001 sebagai wadah perdana untuk melahirkan dan memperkasakan usahawan muda Melayu bertaraf global selari dengan aspirasi negara.

Usahawan Bumiputera khususnya golongan muda Melayu berumur 40 tahun ke bawah yang berminat menganggotai Dewan Muda DPMM Negeri Kedah boleh menghubungi Pengerusi Dewan Muda Kedah, Fadzilly Harun di talian 012-4824065 untuk keterangan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment