My Add

Friday 20 January 2012

Yayasan Emkay buka pusat dialisis terbaru

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Yayasan Emkay membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi membuka sebuah lagi pusat rawatan dialisis dalam usaha membantu meringankan beban pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, kos berkenaan merangkumi perbelanjaan membeli 10 buah mesin pencuci darah dan menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti ruang menunggu dan surau.

Katanya, yayasan akan terus komited memperkasakan program kemasyarakatan seperti itu bagi membantu meringankan beban masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar.

"Kos untuk mendapatkan rawatan hemodialisis ini tinggi dan kira-kira 20 peratus pesakit gagal mendapatkan rawatan disebabkan oleh faktor seperti kewangan dan lokasi pusat rawatan yang jauh.

"Jadi dengan pembukaan (pusat dialisis) ini diharapkan dapat meringankan beban pesakit di kawasan sekitar mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Rawatan Dialisis Farah Mahami di Sungai Merab, dekat sini, semalam.

Pusat rawatan yang dinamakan sempena anak bongsu Mustapha Kamal itu merupakan pusat dialisis kelima dibangunkan oleh yayasan berkenaan selepas Pusat Rawatan Dialisis Wan Nong di Batu Gajah, Perak; Pusat Rawatan Dialisis Felina (Banting, Selangor); Pusat Rawatan Dialisis Tengku Sarina (Alor Setar, Kedah) dan Pusat Rawatan Dialisis Fazwinna (Sungai Petani, Kedah).

Tambah Mustapha Kamal, pusat dialisis baru itu akan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan memandangkan kemudahan hemodialisis agak terhad dan hospital serta klinik kerajaan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

"Melalui semua pusat yang telah kita buka ini, yayasan telah berjaya memberikan rawatan kepada lebih 320 orang pesakit dan insya-Allah jika tiada aral melintang kita akan membuka sebuah lagi pusat rawatan di Bukit Merah, Perak pada Mei nanti," ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, sejak ditubuhkan pada 2001, yayasan telah membelanjakan RM33.5 juta untuk program kemasyarakatan yang merangkumi sektor pendidikan, keagamaan, sukan, kebajikan, kesihatan dan pemuliharaan alam semula jadi. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment