My Add

Friday 3 February 2012

2 sebar SMS KPN mati beri keterangan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Dua pemuda yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meninggal dunia, telah diambil keterangan oleh polis kelmarin.

Difahamkan, kedua-dua pemuda berusia lingkungan 20-an itu ditahan di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak, namun dibebaskan setelah percakapan mereka dirakam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, telefon bimbit milik kedua-dua mereka juga rampas untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua mereka tidak mempunyai talian persaudaraan, malah tidak mengenali antara satu sama lain. Setakat ini polis masih mengesan individu yang memulakan SMS palsu itu sebelum disebarkan oleh kedua-dua pemuda berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Pemandu Berhemah Ops Sikap Ke-25 di R&R Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, semalam.

Tambah Khalid, polis juga sedang menyiasat motif sebenar penyebaran SMS palsu itu sama ada disengajakan atau mempunyai unsur gurauan.

“Jika berunsur gurauan, ia adalah jenaka yang tidak kena tempatnya,” jelasnya.

Terdahulu Khalid berkata, Ops Sikap Ke-25 selama 15 hari sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini memperlihatkan kejayaan apabila berlaku penurunan dari aspek kemalangan, kemalangan maut serta jumlah kematian.

Katanya, penurunan adalah antara 1.4 hingga 15.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pada kempen kali ini sebanyak 155 kes kemalangan maut membabitkan 168 kematian dicatatkan berbanding 183 kes dengan 199 kematian tahun lalu,’’ jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment