My Add

Thursday 9 February 2012

4,000 amah dibawa kemari akhir Mac tanpa masalah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 09 Febuari, 2012: Persatuan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PAPA) yakin dapat membawa masuk kira-kira 4,000 pembantu rumah Indonesia selewat-lewatnya akhir Mac ini tanpa sebarang masalah.

Pemangku Presidennya, Jeffrey Foo berkata, ini kerana pihaknya telah melakukan saringan ketat ke atas syarikat pelaksana penempatan Tenaga Kerja Indonesia swasta (PPTKIS) yang akan mencari calon pembantu rumah republik itu.

"Pada awalnya, kira-kira 100 PPTKIS terlibat dalam urusan tersebut namun kini tinggal kurang 40 syarikat yang akan menggerakkan proses mencari calon dan penempatan pembantu rumah Indonesia tersebut.

"Antara syarat yang termaktub pada protokol yang dipersetujui kedua-dua negara adalah keperluan mengadakan kontrak kerja untuk pembantu rumah, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditetapkan pada kadar RM4,511.

''Selain itu pembantu rumah wajib mengikuti kursus selama 200 jam, diberikan cuti satu hari seminggu dan dibenarkan memegang sendiri pasport," katanya kepada Utusan Malaysia di sini

Semalam, Ketua Pengarah Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Reyna Usman berkata, sejumlah 121 agensi pekerjaan di Malaysia telah bersiap sedia untuk bekerjasama dengan PPTKIS dalam urusan penempatan pembantu rumah Indonesia mulai Mac ini.

Jeffrey berkata, pemilihan PPTKIS adalah berdasarkan komitmen mereka mematuhi protokol pindaan terhadap memorandum persefahaman (MoU) di antara Malaysia dan Indonesia Mengenai Isu Penggajian Pembantu Rumah Asing Indonesia 2006.

Katanya, ini penting bagi mengelak timbul masalah dalam urusan pencarian calon dan penempatan pembantu rumah tersebut.

Tambahnya, jumlah 4,000 pembantu rumah itu memadai dengan keperluan pembantu rumah negara dan pihaknya sedia menambah jumlah itu dari semasa ke semasa.

"Kita akan melihat jika ada perkara berbangkit. Apa yang penting kini, kita perlu melihat proses kemasukan kali ini dahulu," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku Muhsein berkata, saringan ketat ke atas PPTKIS diharapkan dapat menyelesaikan masalah kes amah tidak berkualiti dan melarikan diri dari majikan.

''Kes-kes seperti ini sudah berlarutan dan merugikan ramai majikan,'' katanya. - UTUSAN



No comments:

Post a Comment