My Add

Saturday 11 February 2012

410 penduduk kongsi RM205,000

RAJA Ahmad Zainuddin (tengah) menyerahkan baucar BR1M kepada penduduk pada majlis penyerahan di Dewan Terbuka Ijok, Larut, kelmarin.

LARUT, SABTU, 11 Februari, 201: Seramai 410 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah di sini, menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang keseluruhannya berjumlah RM205,000 kelmarin..

Penyampaian baucar tunai yang setiap satunya bernilai RM500 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Zainuddin di Dewan Terbuka Ijok.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Raja Ahmad berkata, bantuan itu disalurkan oleh kerajaan bukan bertujuan untuk memancing undi, sebaliknya bagi meringankan beban golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Katanya, melalui bantuan berkenaan jelas membuktikan kerajaan komited memastikan rakyat menikmati arus pembangunan tanpa mengira latar belakang seseorang.

"Apa yang mustahak, semua pihak perlu 'membuka mata' yang BR1M akan memberi kesan jangka panjang dan diharap dapat membawa kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat," katanya.

Menurut Raja Ahmad, rakyat sewajarnya menilai dengan bijak dan rasional bagi setiap bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

"Ini kerana pelbagai langkah pembangunan telah direncanakan untuk semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan politik.

"Ia secara jelas menterjemahkan keupayaan ekonomi negara serta kepimpinan yang cekap dan mampu memberi jaminan kesejahteraan terhadap golongan berpendapatan rendah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment