My Add

Saturday 11 February 2012

81 persatuan hantar memo kepada KWSP

ANUAR Sudin (empat dari kiri) menyerahkan memorandum menyokong skim khas pembelian unit rumah PPR dan PA kepada Nik Affendi Jaafar di Ibu Pejabat KWSP, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Oleh ROSLAH OTHMAN

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Majlis Gabungan Persatuan-persatuan Penduduk di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wilayah Persekutuan hari ini menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar tidak melayan kerenah parti pembangkang berhubung skim khas pembelian unit rumah PPR-MTEN dan PA DBKL

Gesaan itu dibuat menerusi satu memorandum, yang turut menjadi tanda sokongan mereka terhadap skim yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Disember lepas.

Memorandum itu diserahkan kepada Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar di lobi Ibu Pejabat KWSP di sini, semalam.

Yang Dipertua majlis itu, Anuar Sudin berkata, memorandum itu juga sebagai membalas memorandum bantahan penggunaan dana KWSP bagi tujuan pembiayaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kerajaan Persekutuan yang dihantar parti pembangkang kepada KWSP pada 8 Februari lalu.

Anuar menegaskan, pihaknya terpanggil untuk membalas memorandum itu yang nyata tidak menyebelahi pihak penyewa Perumahan Awam (PA) dan PPR dan menidakkan hak mereka membeli unit-unit yang ditawarkan.

Menurutnya, selama ini ramai penyewa yang berminat membeli unit rumah PA dan PPR tetapi tidak berkemampuan dan mereka menanti-nantikan satu skim yang dapat membantu mereka mencapai hasrat itu.

"Kami amat kecewa hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri untuk memiliki rumah cuba diganggu pihak pembangkang.

"Seharusnya mereka membantu seiring dengan slogan negeri berkebajikan, tetapi sebaliknya cuba mempolitikkan isu ini," ujarnya ketika ditemui selepas mengetuai penyerahan memorandum berkenaan.

Kira-kira 18 wakil persatuan penduduk mewakili 81 persatuan penduduk dan 700,000 penghuni PPR dan PA turut hadir pada sesi itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Razak Abdul Karim pula berkata, sebagai tanda sokongan juga pihak majlis akan turut menyertai sesi road show yang akan diadakan oleh DBKL dan agensi terlibat bagi sesi penerangan mengenai pembiayaan skim tersebut pada 1 Mac ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat majlis itu, Amulludin Latip menyeru agar pihak KWSP tidak tunduk kepada desakan pihak pembangkang supaya tidak memberikan dana RM1.5 billion kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai skim tersebut.

Menurutnya, perkara itu perlu dilihat dari sudut kebajikan kerana dengan wujudnya dana berkenaan, ia akan membantu penyewa unit rumah PPR dan PA yang berpendapatan rendah memiliki hartanah di ibu negara.

Pada 8 Febuari lalu, tiga Ahli Parlimen pembangkang iaitu Nurul Izzah Anwar, Tony Pua dan Dr. Dzulkefly Ahmad melalui Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat) telah menghantar memorandum bantahan mereka kepada KWSP.

Memorandum itu antara lain menyatakan tidak bersetuju penggunaan dana KWSP bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki unit rumah PA dan PPR.

Pada hari yang sama, Timbalan Ketua Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa skim khas pembelian rumah itu tidak melibatkan KWSP memberikan pinjaman kepada individu - UTUSAN

No comments:

Post a Comment