My Add

Saturday 11 February 2012

90 pakej tender MRT Sungai Buloh-Kajang akan dianugerah

MOHD Sidek Hassan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Azhar Abdul Hamid (kiri) dengan Abu Kassim Mohamed pada majlis menandatangani perjanjian pelantikan kontraktor MRT di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, SABTU, 11 Februari, 2012:  Kesemua 90 pakej tender di bawah projek My Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang akan dianugerahkan selewat-lewatnya akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata, pihaknya setakat ini belum dapat menentukan kos sasaran untuk projek MRT tersebut sehingga tender-tender berkenaan dianugerahkan sepenuhnya.

"Kos projek ini adalah agregat daripada semua tender dan ditambahkan dengan jumlah pembayaran balik (reimbursable amount) dan jumlah kontingensi.

"Jumlah reimbursable diletak pada jumlah maksimum sebanyak RM2.8 bilion manakala jumlah kontingensi pada kadar enam peratus daripada jumlah nilai tender yang dianugerahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perjanjian yang melantik MMC Gamuda KVMRT Sdn. Bhd. sebagai rakan pelaksana projek MRT.

Dalam majlis tersebut, MRT Corp. turut menandatangani perjanjian yang menyaksikan HSS Integrated Sdn. Bhd. dan SNC Lavalin sebagai jurutera pemeriksa bebas untuk projek MRT.

MRT Corp. dan MMC Gamuda KVMRT Sdn. Bhd. turut menandatangani perjanjian Pakatan Integriti manakala MRT. Corp. pada masa yang sama menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

Pemeteraian kesemua perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Dalam pada itu, Azhar berkata, soal pembiayaan projek MRT telah dimuktamadkan.

"Satu perjanjian pembiayaan dijangka ditandatangani antara MRT Corp. dengan Dana Infra iaitu subsidiari Kementerian Kewangan yang berperanan dalam soal pembiayaan projek MRT," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sidek berkata, beliau berharap langkah MRT Corp. menandatangani perjanjian Pakatan Integriti dan Ikrar Integriti Korporat akan menjadi teladan kepada pelaksana projek yang lain.

"Ini menunjukkan projek MRT akan dijalankan secara telus dan ia perlu menjadi teladan kepada projek-projek awam dan swasta yang lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment