My Add

Friday 3 February 2012

Anwar ketepikan hak rakyat Palestin

KOTA BHARU, JUMAAT, 02 Februari, 2012: Kebimbangan Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) terhadap kemungkinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan pelobi Yahudi bagi membantu beliau memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mungkin ada kebenarannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana sehingga sekarang Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu tidak menjelaskan maksud sebenar berhubung kenyataannya yang dikatakan menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan Israel.

Menurut beliau, kenyataan Anwar itu bukan sahaja bercanggah dengan dasar dalam dan luar negara berhubung negara Israel serta Palestin malahan tidak mengambil kira perjuangan Islam serta mengetepikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kenyataan Anwar itu mendapat sokongan sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP yang sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang reaksi selepas ia ditentang oleh Pas.

"Secara tersirat apakah bermakna kalau Anwar kata dia akan ambil alih kerajaan, akan diubah dasar dari segi Israel dan Palestin atau dia akan guna penasihat-penasihat lain yang dia rasakan boleh membantu dalam soal ini?

"Ataupun dia lebih mirip kepada soal tuntutan pelbagai pihak di Amerika untuk melayan sentimen dan kehendak mereka.

''Itu kita tidak tahulah tetapi kenyataan Mubarak mungkin ada kebenaran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Kelantan 2012 di sini, semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Ghafar, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat itu dihadiri lebih 2,000 warga pendidik.

Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Semalam, Ketua Penerangan Mubarak, Datuk Abdul Rahman Sulaiman menyifatkan sokongan Anwar terhadap segala usaha untuk melindungi keselamatan Israel menunjukkan Ketua Pembangkang itu amat mengharapkan pelobi Yahudi bagi membantunya memenangi PRU-13.

Katanya, sokongan itu juga satu cara pembangkang untuk melibatkan kuasa besar dunia khususnya rejim zionis dan konco-konco di Amerika Syarikat (AS) dalam politik negara.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata, penolakan Buku Jingga oleh kerajaan Pas Kedah sepatutnya menjadi pengajaran kepada rakyat.

Katanya, ini kerana kandungan buku tersebut hanya gimik politik, tidak berasaskan kenyataan serta tidak mampu dilaksanakan.

"Apa yang Azizan (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak) telah sebut mungkin sesuai setengah tempat, tak sesuai di setengah negeri.

''Ini satu lagi petanda bahawa Buku Jingga yang dikatakan jadi manifesto kepada pakatan pembangkang tidak diterima oleh pemimpin mereka sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment