My Add

Friday 10 February 2012

Biasiswa Jepun mula dibuka


KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Rakyat Malaysia yang berkelayakan dan ingin melanjutkan pengajian serta menjalani latihan perguruan di Jepun dipelawa memohon biasiswa tajaan kerajaan negara itu.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam satu kenyataan semalam memberitahu, permohonan untuk biasiswa berkenaan kini dibuka sehingga 2 Mac ini.

Biasiswa tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pengajian Jepun (kursus bukan ijazah selama setahun bermula Oktober ini) dan Latihan Perguruan (kursus bukan ijazah satu setengah tahun bermula Oktober).

"Sepanjang tempoh pengajian, elaun bulanan sebanyak 117,000 yen (anggaran RM4,500) akan diberi kepada setiap penerima biasiswa Pengajian Jepun dan 143,000 yen (anggaran RM5,500) untuk setiap penerima biasiswa Latihan Perguruan.

"Pemohon juga dikecualikan daripada membayar yuran peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi serta tuisyen dan tiket kapal terbang pergi balik disediakan," jelas kenyataan itu.

Bagi biasiswa Pengajian Jepun, pemohon mesti berumur 18 hingga 29 tahun pada 1 April ini dan siswazah tahun dua atau tiga serta mahir dalam bahasa Jepun.

Permohonan mesti sampai di Kedutaan Jepun di Malaysia sebelum pukul 4 petang, 2 Mac ini.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-21772600 (sambungan 157/146).

Pemohon biasiswa Latihan Perguruan pula mesti berumur di bawah 35 tahun pada 1 April ini serta merupakan siswazah yang mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman bekerja dan mahir berbahasa Inggeris.

Permohonan harus dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Untuk maklumat lanjut boleh layari http://www.jpa.gov.my atau hubungi JPA di talian 03-8885-3432 (Siti Haslina Hashim). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment