My Add

Thursday 9 February 2012

BR1M terbukti ringankan beban penerima

AMPANG, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada setiap golongan berkelayakan semua kaum terbukti berupaya meringankan bebanan para penerima yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, rumusan itu dibuat hasil maklum balas daripada para penerima BR1M di kawasan tersebut.

"Ada penerima yang menyatakan amat terharu kerana kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin terhadap denyut nadi kesusahan rakyat.

"Malah para penerima menyatakan bahawa tidak ada kerajaan lain di dunia ini yang memberi bantuan sedemikian kepada rakyat," katanya.

Ismail menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan majlis penyampaian BR1M kepada penduduk setempat di Pejabat UMNO Bahagian Ampang, di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Aziz Md. Derus, Naib Ketuanya, Sheikh Arziman Sheikh Ali dan ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu.

Menurut Ismail, pembayaran fasa pertama BR1M bagi kawasan Ampang melibatkan 7,836 penerima sudah dilaksanakan ke tahap 90 peratus.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang berkata, lebih 11,000 orang telah membuat permohonan BR1M di kawasan tersebut.

"Kebanyakan penerima BR1M terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan mereka yang mempunyai banyak tanggungan keluarga," katanya.

Tambahnya, pemberian itu dibuat secara telus tanpa mengira fahaman politik para penerima kerana telah menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa membela nasib rakyat. 

No comments:

Post a Comment