My Add

Sunday 19 February 2012

DKN mampu tingkat eksport komoditi negara

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman

KOTA KINABALU, SABTU, 18 Februari, 2012: Pelaksanaan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang menggariskan langkah strategik dalam memperkukuhkan daya saing industri komoditi akan meningkatkan pendapatan eksport komoditi negara kepada kira-kira RM242.5 bilion menjelang 2020.

Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, pelaksanaan DKN yang akan menyusul dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu akan menyaksikan pertumbuhan purata industri berkenaan kepada 7.9 peratus setahun.

"Pelaksanaan strategi dalam DKN juga disasar menguatkan lagi sumbangannya kepada pendapatan kasar negara (GDP) di mana dalam tempoh 2011 hingga 2020 sektor huluan dijangka tumbuh 2.7 peratus kepada RM29 bilion pada 2020.

"Ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baru dan memberi kesan berganda kepada pelbagai sektor ekonomi serta meningkatkan pendapatan isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Media dan Pelancaran Dasar Komoditi Negara 2011-2020 di sini malam semalam.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim.

Menurut beliau, sebanyak tujuh teras utama digariskan di bawah DKN bagi memacu pertumbuhan sektor komoditi melibatkan produk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, tembakau, kenaf dan sagu.

Katanya, pada 2011 nilai eksport produk berasaskan komoditi telah meningkat sebanyak 23.7 peratus kepada RM141.2 bilion berbanding RM114.2 bilion pada tahun sebelumnya.

"Sektor sawit menyumbang RM83.4 bilion atau 59.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport komoditi 2011 disusuli getah sebanyak 22.9 peratus dan kayu 14.1 peratus," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment