My Add

Friday 10 February 2012

Jenazah pegawai ATM UNIFIL selamat dikebumi


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak serta pegawai kanan Angkatan Tentera memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Pegawai Staf Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, Leftenan Kolonel Habibullah Ismail, di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini. - Foto Lim Poh Chin

ALOR SETAR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah berkenan menziarahi jenazah Pegawai Staf Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (United Nations Interim Force in Lebanon atau UNIFIL), Lt Kol Habibullah Ismail di rumah Allahyarham di Jalan Kuala Kedah di sini, hari ini.

Baginda meluangkan masa kira-kira 15 minit di rumah pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lorong Madrasah, Tambak Bunga itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sebelum kembali ke Istana Anak Bukit.

Habibullah, 42, meninggal dunia pada 6 Februari lepas di Hospital Jabal Amel, Tyre, Lebanon kira-kira pukul 3.30 petang waktu Lebanon (8.30 malam waktu Malaysia) akibat sakit jantung.

Jenazah Allahyarham sampai dengan pesawat komersial Qatar dari Lebanon di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira 8.30 malam tadi, dan diterbangkan dengan pesawat C-130 Tentera Udara ke Alor Setar selepas itu setelah sembahyang jenazah di Masjid Pangkalan Udara Subang.

Jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyang di Masjid Tambak Bunga yang diimamkan abang sulungnya, Fathullah Ismail, 52, dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambak Bunga pagi ini.

Allahyarham ialah Pegawai Memerintah 23 Rejimen Askar Melayu (RAMD) di Ipoh, Perak, menyertai UNIFIL mulai 14 November 2011 sehingga tamat misi pada 13 November 2012.

Allahyarham yang dilahirkan di Alor Setar pada 3 Januari 1970 di Alor Setar meninggalkan seorang isteri, Maryani Mahadzir dua anak lelaki berumur 13 dan 9 tahun serta seorang anak perempuan berumur 6 tahun. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment