My Add

Thursday 9 February 2012

JPDP & APDP akan cambah transaksi e-dagang & e-niaga

KUALA LUMPUR, KHAMI, 09 Februari, 2012: Penubuhan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) hasil pewartaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) 2010 (APDP), akan mencambahkan lagi transaksi e-dagang dan e-niaga serta mempercepat pembangunan hubungan elektronik berangkaian negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, usaha kerajaan mengiktiraf kepentingan individu menerusi perlindungan data peribadi ini akan mewujudkan keyakinan dalam kalangan pengguna, pengamal e-dagang dan kemudahan rangkaian bahawa maklumat peribadi mereka dilindungi.

Berucap pada perasmian JPDP dan Seminar Kesedaran Perlindungan Data Peribadi 2012 di sini hari ini, Rais berkata, kewujudan sistem perundangan ini juga akan dapat membantu Malaysia menjadi pusat komunikasi dan perdagangan elektronik serta lokasi pelaburan dalam industri dan multimedia yang menarik.

Ia turut membantu dalam memberi jaminan perlindungan data peribadi mengikut piawaian antarabangsa kepada rakan perdagangan antarabangsa negara.

"Kebangkitan transaksi berasaskan elektronik telah meningkatkan kedudukan data peribadi yang dahulunya tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi, sama seperti komoditi utama lain,” katanya.

Menurut Rais, integriti dan perlindungan data peribadi merupakan faktor asas kepada peralihan negara dari sebuah ekonomi yang berasaskan pengeluaran kepada pengetahuan bernilai tinggi melalui sokongan infrastruktur ICT.

Sehingga kini, lebih 100 negara telah atau sedang memperkenal perundangan perlindungan data peribadi, kata Rais. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment