My Add

Sunday 19 February 2012

Kawasan rekreasi akan terus dibina di ibu negara

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan sentiasa berusaha mewujudkan dan menambah baik kawasan rekreasi di sekitar ibu negara bagi menggalakkan masyarakat bandar mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini berkata, setakat ini kementerian melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membina 16 taman rekreasi dan salah satunya adalah dengan pembinaan projek Taman Bukit Kerinchi di Lembah Pantai.

"Pembinaan taman rekreasi atau tempat riadah ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik yang diambil kerajaan bagi menangani masalah kesihatan warga bandar yang semakin membimbangkan.

"Dengan adanya taman rekreasi di sekitar kawasan perumahan pastinya akan memudahkan penduduk sekitar untuk beriadah dan menjalankan aktiviti sihat bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Khidmat Masyarakat Sihat di kalangan Komuniti Bandar anjuran Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Projek yang akan dikendalikan dalam tiga fasa itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan umum di kalangan penduduk bandar melalui beberapa langkah intervensi dan aktiviti promosi kesihatan untuk komuniti.

Untuk permulaan projek tersebut melibatkan penyertaan penduduk dari empat tbnProjek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar kawasan Lembah Pantai iaitu PPR Kerinchi, PPR Pantai Ria, PPR Seri Chempaka dan PPR Seri Pantai. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment