KUALA LUMPUR, sabtu, 11 Februari, 2012: Kementerian Kesihatan bersedia menerima ibu bayi kembar empat, Norbazilah Amin, 27, yang bekerja sebagai jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bertugas di klinik atau hospital di daerah Muar, Johor bagi memudahkan urusan menjaga anak-anaknya.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, Norbazilah perlu mendapatkan pelepasan majikannya iaitu PPUM yang ditadbir oleh Kementerian Pengajian Tinggi terlebih dahulu.
"Dia datang daripada organisasi berlainan, jadi dia perlu mendapat pelepasan dan kebenaran majikannya.
"Apabila sudah ada kelulusan, Kementerian Kesihatan tiada masalah untuk menerima dia bekerja di mana-mana klinik atau hospital kerajaan di Muar," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Hasan, kesudian kementerian untuk menerima Norbazilah bertugas di Muar adalah atas dasar keprihatinan dan ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada kementerian.
Sebelum ini, Norbazilah membuat permohonan untuk bertukar tempat kerja tetapi sehingga kini belum mendapat jawapan dan keadaan itu merisaukannya kerana cuti tambahan tanpa gaji selama tiga bulan yang diambil sejak Januari lalu akan berakhir April ini.
Ketika ini, dia terpaksa tinggal bersama ibu bapanya, Amin Zainal Abidin, 62, dan Rohana Sintal, 55, di Taman Sri Emas di Muar setelah tidak menemui penjaga yang sesuai di kediamannya di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya dekat sini untuk menjaga keempat-empat bayinya.
Utusan Malaysia pada 7 Februari lalu melaporkan kegembiraan Norbazilah dan suami, Mohd. Sazalee Mohd. Hilal, 35, memperoleh empat anak kembar walaupun dilahirkan tidak cukup bulan setelah menjalani rawatan permanian beradas (IUI).
Kembar empat tidak seiras itu terdiri daripada tiga perempuan iaitu Sherlea, Seliesha, Shazrica dan seorang lelaki, Shazrick dan kelahiran mereka itu memberi kegembiraan kepada pasangan tersebut setelah tiga tahun tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Norbazilah berharap dapat ditukarkan ke klinik atau hospital di daerah ini bagi memudahkan urusan menjaga anak-anak yang kini dijaga ibu bapanya di Taman Sri Emas di sini.
Katanya, permohonan untuk bertukar tempat kerja itu telah dibuat tetapi hingga kini belum mendapat jawapan dan keadaan itu merisaukannya kerana cuti tambahan tanpa gaji selama tiga bulan sejak Januari lalu akan berakhir April ini.
Ketika ini, dia terpaksa tinggal bersama ibu bapanya, Amin Zainal Abidin, 62, dan Rohana Sintal, 55, di sini setelah tidak menemui penjaga yang sesuai di kediamannya di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor untuk menjaga keempat-empat bayinya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment