My Add

Friday 10 February 2012

Kerajaan Pusat tidak abaikan Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, JUMAAR, 10 Februari, 2012: Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan negeri ini dan sentiasa komited menyalurkan peruntukan kepadanya walaupun diperintah oleh DAP.

Ia dibuktikan melalui peruntukan sebanyak RM22.2 bilion sejak 2008 hingga kini yang disalurkan melalui pelbagai projek pembangunan serta bantuan lain kepada rakyat sama ada infrastruktur atau projek untuk kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, biarpun menerima desakan daripada banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tidak sesekali meminggirkan Pulau Pinang.

Menurutnya, biarpun sebahagian rakyat Pulau Pinang bertindak memilih DAP yang dilihat gagal membawa kemajuan atau projek pembangunan kepada negeri itu, namun Najib tetap menambah peruntukan di Pulau Pinang.

"Biarpun didesak oleh NGO agar projek di Pulau Pinang ditangguhkan atau diperlahankan bagi menginsafkan rakyat negeri itu yang memilih DAP, namun Datuk Seri Najib buktikan dengan memberi peruntukan besar kepada negeri ini.

"Antara peruntukan yang diberi adalah pembinaan Jambatan kedua Pulau Pinang berjumlah RM4.5 bilion, sebahagian Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (RM2.7 bilion), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM300 juta), pelebaran Jambatan Pulau Pinang (RM400 juta), pembaikan Empangan Mengkuang (RM1.2 bilion) dan menaik taraf kereta api Bukit Bendera (RM40 juta)," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek perumahan Seri Akasia yang dibina JKP Sdn. Bhd. di Mengkuang Titi di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment