My Add

Friday 10 February 2012

Kompeni Askar Wataniah dilancar Ahad

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dengan kerjasama Rejimen 502 Askar Wataniah Selangor dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan melancarkan kompeni pertama Askar Wataniah peringkat rancangan Felda, Ahad ini.

Sehubungan itu, GWGF mengundang masyarakat peneroka hadir ke majlis pelancaran pasukan yang dinamakan sebagai Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa, Felda Gedangsa di Hulu Selangor.

Setiausaha GWGF, Kamarulzaman Mohamad (gambar) berkata, pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala Pengerusi GWGF, Tan Sri Rozali Ismail dijangka hadir.

"Pelbagai acara menarik disediakan pada majlis pelancaran itu seperti persembahan pancaragam, pertunjukan tempur tanpa senjata dan pertunjukan 'Army Red Warrior' daripada pasukan Askar Wataniah.

"Majlis pelancaran akan bermula pukul 9 pagi dengan pemeriksaan perbarisan, gempur wira dan upacara menaikkan empat bendera yang mewakili empat tanah rancangan Felda di Gugusan Sungai Dusun," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambah beliau, pasukan Askar Wataniah akan mengadakan pameran peralatan persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kereta perisai dan senjata tempur.

"Turut mengadakan pameran adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bomba, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan, Red Quattro dan Persatuan Sukan Bermotor GWGF dan juga pertandingan futsal anjuran Majlis Belia Felda Selangor," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment