My Add

Friday 10 February 2012

Lima sekeluarga Islam diami rumah kebajikan gereja

BATU PAHAT, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Seorang ibu tunggal dan empat anaknya sanggup tinggal di rumah kebajikan yang dikendalikan oleh sebuah gereja di ibu kota akibat desakan hidup selepas ditinggalkan oleh suaminya.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi semalam dan dikhuatiri akidah mereka boleh terpesong jika terus dibiarkan tinggal di situ.

Menurutnya, wanita yang berasal dari Rengit dekat sini itu, bukan sahaja menderita ditinggalkan oleh suami, malah tidak diendahkan oleh keluarganya.

Ekoran itu, dia akan empat anaknya meninggalkan kampung dan berpindah ke ibu kota untuk memulakan hidup baharu.

“Bagaimanapun, cabaran hidup di ibu kota ‘mengasak’ wanita itu hingga dia menerima tawaran untuk tinggal di rumah kebajikan kendalian sebuah gereja yang menjanjikan kehidupan lebih sempurna,” katanya selepas menyampaikan bantuan kira-kira RM300,000 kepada 44 masjid dan 167 surau di kawasan Parlimen ini di sini.

Beliau memberitahu, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tahun lalu dan bertindak daripada maklumat itu, beliau bersama NGO tersebut berusaha membawa keluar wanita berkenaan bersama anak-anaknya dari rumah kendalian gereja berkenaan.

“Kami memindahkan wanita itu tinggal di rumah lain dan sewa selama setahun saya tanggung bagi meringankan bebannya,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Mohd. Puad berkata, situasi malang itu tidak akan berlaku jika transformasi berlaku dalam institusi masyarakat seperti masjid dan surau supaya lebih prihatin terhadap penduduk di kariah masing-masing, terutama dalam menjaga kebajikan, mengesan dan membantu golongan yang susah di kawasan mereka.

“Jangan hanya salahkan pihak lain yang cuba memesongkan akidah umat Islam, tetapi renung kelemahan kita kerana institusi masyarakat termasuk masjid dan surau tidak mengalami transformasi, sebaliknya hanya terlalu menumpukan kepada aktiviti ibadat rutin sehingga seolah-olah mengabaikan kebajikan masyarakat.

“Jika kita lebih prihatin, kejadian seperti ini tidak terjadi dan ia perlu menjadi renungan bersama terutama dalam menjayakan transformasi masjid dan surau sebagai institusi ummah, sekali gus menyelamatkan akidah saudara kita,” katanya.

Mohd. Puad berkata, masjid dan surau juga perlu melakukan inisiatif seperti memberi makanan dan bantuan kepada masyarakat setempat yang memerlukan bagi membolehkan mereka mempunyai tempat untuk mengadu dan tidak terpengaruh dengan golongan tidak bertanggungjawab. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment