My Add

Friday 10 February 2012

Lindungi hak rakyat – Rais

Oleh SYUKRI SHAARI

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 Februari, 2012: Akta Perlindungan Data Peribadi yang bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial di negara ini dijadual berkuat kuasa pertengahan tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pelaksanaan akta berkenaan merupakan perjuangan kementerian dan juga kerajaan dalam usaha memerangi jenayah pencerobohan hak peribadi yang semakin berleluasa ketika ini khususnya secara dalam talian.

Katanya, akta tersebut akan memberi perlindungan kepada data peribadi orang ramai termasuk maklumat akaun kredit, kad pengenalan serta sejarah kesihatan.

“Kami amat memandang berat keperluan melindungi hak dan data peribadi rakyat. Akta ini bukan sahaja melindungi maklumat berkaitan perbankan atau urusan kredit rakyat, malah ia turut meliputi data-data peribadi yang sensitif seperti jenis darah, rekod kesihatan, keadaan fizikal dan juga mental.

“Selain itu, akta ini bukan sahaja berfungsi melindungi data peribadi orang ramai, malah ia juga akan membuatkan proses perdagangan, jual beli atau transaksi komersial secara dalam talian lebih selamat.

“Kami berharap akta berkenaan mampu menjadi pelindung kepada data-data peribadi orang ramai daripada diceroboh,” katanya selepas majlis perasmian Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Seminar Perlindungan Data Peribadi 2012 di sini, semalam.

Menurut Rais, latihan serta penerangan terperinci berhubung akta tersebut akan diberikan kepada pegawai jabatan baru itu supaya penguatkuasaannya lebih kemas dari semasa ke semasa.

“Saya telah meminta agar latihan serta penerangan terperinci diberikan terlebih dahulu kepada pegawai-pegawai yang terlibat termasuk kepada Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mereka memahami skop tugas masing-masing serta membolehkan penguatkuasaan secara maksimum dilaksanakan,” jelasnya.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengambil langkah menapis kandungan tertentu dalam laman sosial Twitter seperti yang disokong oleh kerajaan Thailand, Rais berkata, situasi berkenaan perlu dikaji terlebih dahulu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment