My Add

Saturday 18 February 2012

Manfaatkan khasiat sarang burung walit

Oleh ALI MAHMOOD

BENTONG, SABTU, 18 Februari, 2012: Rakyat negara ini digalakkan supaya menjadikan sarang burung walit sebagai makanan dan minuman harian kerana ia mengandungi pelbagai zat yang amat berguna untuk kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sarang burung boleh dibuat sup seperti mana sup sirip ikan yu yang kini semakin popular di kalangan rakyat berbilang kaum negara ini.

Katanya, galakan itu juga bagi membantu industri sarang burung walit yang kini berhadapan masalah lambakan kerana produk tersebut tidak dapat dieksport ke negara China.

"Kabinet telah mengarahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengambil tindakan dan langkah-langkah bagi menyelamatkan industri tersebut.

"Sekarang ini harga sarang burung walit telah merosot daripada RM4,000 sekilogram kepada kira-kira RM1,000 sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perayaan Tahun Baru Cina Bersama Orang Asli Kampung Cinta Manis dengan Resort World Genting dekat sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam Resort World, Datuk Anthony Yeo, Naib Presiden Perhubungan Awam Dan Komunikasi Resort World, Kathrine Chew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Datuk M. Davendran.

Menurut Tiong Lai, apabila selesai rundingan antara kerajaan Malaysia dan China, harga sarang burung walit dijangka stabil semula selepas ia boleh dieksport kembali ke negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai memberitahu, kementeriannya telah mengambil alih fungsi dan peranan klinik-klinik di perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

"Kita juga mengambil alih Hospital Orang Asli di Gombak yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Dengan mengambil alih hospital dan klinik berkenaan, taraf kesihatan masyarakat Orang Asli dapat ditingkatkan dan mereka juga turut mendapat rawatan daripada Klinik Bergerak 1Malaysia," katanya.

Kata beliau, klinik bergerak itu memasuki perkampungan Orang Asli bagi setiap dua minggu sekali. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment