My Add

Thursday 9 February 2012

Masalah mangsa ribut ke Kabinet

NOH Omar (tiga dari kanan) bertanya khabar salah seorang mangsa kejadian ribut sewaktu melawat mereka di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Shah Alam semalam.

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Masalah yang dihadapi mangsa ribut di Pangsapuri Teratai di Bukit Subang semalam telah dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini kerana ia melibatkan kerugian agak besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau memaklumkan kepada Kabinet tentang kejadian tersebut memandangkan penduduk terbabit bukan sahaja memerlukan bantuan memulihkan rumah, malah sokongan bagi memulihkan trauma yang dihadapi mereka

“Pihak urus setia penduduk juga sedang membuat bancian bagi memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan terus kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin dan Penyelaras BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Anggerik, Kamaruddin Ahmad telah melawat mangsa selepas kejadian itu dan menghulurkan bantuan segera. Kami akan terus memantau keadaan mereka serta memberi bantuan yang diperlukan,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat lokasi kejadian dan mangsa-mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Pangsapuri Teratai di sini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam menghulurkan bantuan pemulihan kerana ia melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri manakala kerajaan Persekutuan membabitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kerugian akibat kehilangan bumbung di Pangsapuri Teratai dianggarkan berjumlah RM200,000 selain kerosakan struktur tanah dan bangunan. Apa pun, kita tunggu tindakan kerajaan negeri supaya tidak berlaku percanggahan bidang kuasa yang akan mengusutkan keadaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, ribut yang melanda kawasan Bukit Subang menyebabkan 23 unit rumah di Pangsapuri Teratai mengalami kerosakan termasuk sembilan daripadanya tercabut bumbung. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment