My Add

Saturday 11 February 2012

Muhyiddin pengerusi mesyuarat pembangunan modal insan

MUHYIDDIN Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Modal Insan di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

PUTRAJAYA, SABTU, 11 Februari, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Modal Insan (PMI) di sini.

Mesyuarat dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta beberapa timbalan menteri.

Menurut kenyataan media yang diedar kepada pemberita, mesyuarat akan membincangkan beberapa kertas kerja, antaranya status pewujudan pekerjaan mengikut Bidang Ekonomi Utama Negara/Projek Permulaan dan status pelaksanaan strategic reform initiative untuk pembangunan modal insan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Turut dibentangkan analisis pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan penelitian semula cadangan penubuhan oversight body dan penggabungan sektor kemahiran dengan sektor teknikal dan vokasional oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat juga akan mendengar pembentangan mengenai hala tuju latihan pertanian agromakanan negara oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pembangunan mampan modal insan ICT oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Sepanjang tahun lepas, jawatankuasa itu membincangkan 14 kertas kerja bagi mencari penyelesaian kepada pelbagai isu ke arah menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dengan nilai-nilai yang utuh dan memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Jawatankuasa kabinet itu dibentuk khas untuk meneliti aspek yang paling penting dalam proses pembangunan modal ihsan bagi memasuki era baru ekonomi negara. -BERNAMA


No comments:

Post a Comment