My Add

Friday 10 February 2012

Nasrudin, Ketua Pemuda Pas sokong sambutan Hari Kekasih?

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 10 FebruRI, 2012: Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan hari ini menimbulkan kontroversi apabila didakwa menyokong sambutan Hari Kekasih atau Valentine's Day menerusi kenyataan di laman blog dan laman sosial Facebooknya.

Segalanya bermula apabila beliau memuat naik kenyataan bertajuk 'Sambutan Hari Kekasih' di laman blognya, http://www.eperjuangan.com pada pukul 1.41 petang semalam.

Dalam entri tersebut, beliau menulis: "Anak-anak muda muslim dan muslimah boleh meraikan kekasih hati terutama mereka yang berada di ambang perkahwinan, sama ada sempena Hari Kekasih atau pada hari lebaran yang lain selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam.

"Antaranya adalah pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram, tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi serta tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama."

Dalam kenyataan tersebut, Nasrudin pada perenggan kelapan turut mengesyorkan agar pasangan yang sudah berkahwin meraikan Hari Kekasih atau apa jua hari lebaran yang membawa maksud serupa dengan memberi hadiah dan ziarah.

Bagi pasangan yang belum berkahwin pula katanya, perlu dipastikan tiga adab dan akhlak yang digariskan itu dilaksanakan.

Kenyataan tersebut menarik minat portal berita pro-pembangkang, Malaysiakini yang membuat laporan berita bertajuk 'Nasrudin: Anak muda Islam boleh rai Hari Kekasih jika...' dan disiarkan pada pukul 2.32 petang ini.

Penyiaran berita itu menimbulkan polemik di ruangan komentar portal tersebut sebelum Nasrudin membuat kenyataan kedua kira-kira empat jam selepas entri pertama yang menjelaskan beliau sebenarnya mengemukakan alternatif agar anak-anak muda Islam tidak perlu terpengaruh dengan budaya dan agama lain.

"Apa yang ditulis di laman web saya adalah mengenai cara meraikan kekasih hati, sama ada bagi mereka yang berada di ambang perkahwinan atau yang telah mendirikan rumahtangga.

"Meraikan kekasih hati dengan syarat adab dan akhlak yang saya nyatakan adalah dibenarkan oleh Islam. Inilah juga antara modul yang terdapat dalam Lajnah atau Biro Baitul Muslim Jamaah Islam.

"Justeru, ia tidak kena-mengena dengan Valentine's Day. Saya juga telah tegaskan Islam tidak menetapkan tarikh tertentu untuk meraikan kekasih hati," katanya.

Pemuda Pas sebelum ini diketahui umum menentang keras sambutan Valentine's Day di kalangan umat Islam kerana ia dikatakan menjadi pencetus kepada aktiviti tidak bermoral. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment