My Add

Thursday 9 February 2012

Operasi pemutihan taska besar-besaran bulan ini

SHAH ALAM, KHAMIS, 09 Februari, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor akan melaksanakan operasi pemutihan bagi memastikan lebih 1,000 pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang beroperasi secara haram di negeri ini segera didaftarkan dan mendapat sijil perakuan daripada pihaknya.

Pengarah JKM negeri, Nik Omar Nik Ab. Rahman berkata, operasi pemutihan besar-besaran buat kali ketiga itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Beliau berkata, operasi kali pertama yang dinamakan Amnesty Period dibuat pada 2007 dan yang kedua pada April 2010.

"Pada operasi pemutihan kali kedua, kita dapati lebih 1,000 pusat jagaan dan taska beroperasi secara haram dan surat peringatan telah dikeluarkan kepada pengusahanya agar mendaftar.

"Jadi, melalui proses pemutihan ketiga, kami akan mengerahkan pegawai JKM di setiap daerah untuk memastikan pusat jagaan dan taska tersebut telah berdaftar dan mendapat sijil perakuan JKM.

"Kami juga akan memeriksa pusat jagaan dan taska yang baru ditubuhkan bagi memastikan ia telah mendapat sijil perakuan JKM. Jadi kami boleh tahu sama ada angka pusat jagaan dan taska haram yang ada dalam rekod telah bertambah atau berkurang," kata beliau di pejabatnya di sini, semalam.

Nik Omar meminta semua pengusaha pusat jagaan dan taska agar mematuhi undang-undang dan tidak mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya memburuk-burukkan JKM jika dikenakan tindakan kerana mereka telah diberi peluang yang sewajarnya.

"Jangan nanti jika ada sebarang kes tidak diingini dan aduan dibuat terhadap premis masing-masing, mereka salahkan JKM kerana bertindak melulu. JKM harus bertindak jika ada aduan dan tidak sesekali berniat menyusahkan mereka," tegas beliau.

Dalam pada itu Nik Omar berkata, tindakan mengeluarkan surat amaran kepada sebuah taska) di Seksyen 8 di sini dibuat kerana premis itu tidak berdaftar dan beroperasi tanpa sijil perakuan JKM.

Beliau berkata, tuduhan pemiliknya yang JKM bertindak secara melulu berikutan kemalangan berlaku di premis itu adalah tidak benar sama sekali.

"JKM Selangor menafikan telah mengambil tindakan melulu terhadap taska tersebut seperti yang didakwa pemiliknya, sebaliknya masih memberi peluang kepadanya untuk segera mendaftar.

"Selepas surat amaran ketiga dikeluarkan dan pemilik taska itu masih gagal memenuhi syarat-syarat untuk mendapat sijil perakuan JKM barulah kita keluarkan Notis Lak atau mengunci premis mereka," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment